HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

ANWAR TOLAK KERJASAMA DENGAN UMNO

 
 



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sebarang kerjasama dengan UMNO selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar turut menyifatkan khabar angin itu sebagai tidak berasas dan sekadar salah faham orang ramai yang mentafsir kenyataannya terhadap UMNO sebelum ini sebagai tidak terlalu keras.

“Itu sekadar khabar angin. Dalam ucapan saya tidak terlalu keras, itu mungkin membuatkan mereka berfikir sedemikian.

“Dasar saya jelas mengenai Pakatan Harapan (PH) dan pendekatan saya ialah tidak mahu memiliki musuh peribadi dan sebab itu ramai orang yang salah faham,” katanya dalam wawancara khas bersama NSTP di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berkempen sebagai calon Presiden UMNO sempena pemilihan parti itu baru-baru ini, yakin UMNO akan merampas semula Putrajaya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkara itu berdasarkan ketidakstabilan Kerajaan PH selain beliau mempunyai hubungan baik dengan semua orang.

“Saya baik dengan orang yang baru saja keluar,” katanya dipercayai merujuk kepada Anwar yang dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Mei lalu.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan pula ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, turut berharap supaya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi seolah-olah memberi gambaran wujudnya kerjasama antara UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, UMNO seharusnya menjadi parti pembangkang yang baik dan menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa.

“Tiada asas kononnya saya akan bekerjasama dengan UMNO. Pada pendapat saya, UMNO perlu menjadi pembangkang yang baik. Jadi, jika ada orang kata saya mahu bekerjasama dengan UMNO, saya tidak pernah dengar.

“Mungkin itu hanya cadangan yang mahu melihat Melayu bersatu dan tidak berpecah. Setakat ini, belum ada kenyataan atau pandangan mana-mana pemimpin (parti) ke arah itu,” katanya.Sumber BHONLINE

Tiada ulasan: