HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2018

ANWAR TERGEDIK NAK JADI AHLI PARLIMEN


Wartawan Watan-Online



Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semacam tergedik-gedik nak masuk parlimen pada Oktober ini dan membayangkan bahawa satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal diadakan dalam masa terdekat.

Anwar menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk mengganggu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menjadi ahli Parlimen kelak.

Sebaliknya, beliau berkata akan memainkan lebih peranan semak dan imbang terhadap reformasi institusi kerajaan.

Beliau menaruh keyakinan Perdana Menteri akan melakukan peralihan kuasa seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

“Saya berhasrat untuk berada di Parlimen yang paling terdekat pada Oktober ini melalui pilihan raya kecil.

“Keputusan untuk aktif dalam Parlimen adalah strategik dalam aspek tiada yang membuat tanggapan bahawa saya cuba mengganggu dan menyukarkan Mahathir,” katanya dalam satu wawancara seperti disiarkan Nikkei Asian Review.

Menyentuh tentang reformasi oleh kerajaan, bakal Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu dasar keistimewaan bumiputera di negara ini dikembalikan kepada tujuan asal iaitu untuk membasmi kemiskinan.

“Dasar yang membantu golongan terpinggir, minoriti dan bumiputera yang ketinggalan tidak akan terus sebagai sebuah dasar bumiputera tetapi sebagai tindakan afirmatif,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata, beliau mempercayai Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dan tiada sebab untuknya mempersoalkan perkara tersebut.

“Saya percayakannya dan tiada sebab untuk saya persoal. Selagi saya terus mempunyai hubungan baik dengannya, tidak mengapa,” katanya sambil mengakui terdapat pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Mahathir atas sebab peribadi.

Sebelum ini, Datuk Johari Abdul telah menawarkan kerusi Sungai Petani untuk Anwar bertanding dalam PRK bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen dan diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Tiada ulasan: