PETALING JAYA: Timbalan
Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertikaian dalam
kalangan pimpinan Pakatan Harapan tentang hukuman sebat di khalayak
ramai yang berlaku di Terengganu adalah untuk menutup kes penarikan
balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang jauh
lebih besar daripada isu sebat.
Katanya, Terengganu memperkenalkan peraturan dalam kerangka undang-undang yang dibenarkan di negara ini.
"Tidak sepatutnya ada Kabinet
mengeluarkan kenyataan yang mengkritik undang-undang dan hukuman
tersebut. Kita menganggap ini sebagai satu tindakan tidak menghormati
keputusan Mahkamah Syariah di negeri Terengganu.
"Semua pihak mesti menghormati peraturan
yang ada selagi ia berada dalam kerangka peraturan undang-undang yang
dibenarkan di negara kita.
“Undang-undang yang berlaku di bawah
pentadbiran negeri di bawah Mahkamah Syariah yang lulus melalui
parlimen, mereka berjalan seperti yang dibenarkan oleh parlimen.
Sepatutnya kita menghormati kerangka tersebut," katanya pada ceramah
mega sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, malam tadi.
Beliau menjelaskan bahawa pesalah
terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan, tetapi mereka tidak
membuat rayuan dan hadir sendiri yang memminta supaya dilaksanakan
hukum tersebut agar Allah mengampun dosa mereka.
“Kita perlu menghormati undang-undang
yang ada, kalau tidak hormat buat apa perlu adanya undang-undang kalau
sentiasa dipertikaikan.
"Dalam kes takzir tidak sama dengan kes
hudud dan qisas, kerana kes takzir berada di bawah undang-undang negeri,
tapi ia perlu diselaraskan agar tidak timbul perbandingan yang dianggap
negatif di bawah undang-undang Mahkamah Syariah.
"Mungkin apa yang berlaku di Terengganu
akan membuka ruang supaya Mahkamah Syariah duduk bersama, menilai
kembali dan menyelaraskan kes-kes takzir agar hukumannya dapat
diselaraskan oleh semua negeri yang ada," tambahnya.
Turut hadir pada ceramah mega tersebut
ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi; Presiden Umno,
Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran
Sanasee; calon PAS Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan