KUALA LUMPUR - Tahun 2019 bakal menjadi tahun yang mencabar di mana rakyat dan syarikat-syarikat kecil perlu dibantu kerajaan untuk mengharungi 'angin kencang' pusaran ekonomi dunia.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, Kerajaan PH seharusnya bijak mencatur ekonomi negara, bukan hanya menyalah 'keadaan sekeliling'.

"Pasaran bebas sahaja tidak cukup. Terus menyalahkan orang lain sahaja tidak cukup.

"Pembatalan projek dan penjimatan sahaja tidak cukup.  Apa yang rakyat perlukan untuk mengharungi ekonomi tahun 2019 adalah harapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019, di Dewan Rakyat hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2019 rangkumi setiap sektor ]

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan pemegang portfolio Menteri Kewangan Kabinet Bayangan BN berkata, erti sebenar harapan ialah "Harapan di mana kerajaan akan mula menguruskan negara, bukan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu,".

Katanya, harapan rakyat adalah  di mana kerajaan akan merangsang ekonomi dengan idea, bukan membantutkan ekonomi dengan pembatalan demi pembatalan.

"Harapan di mana kerajaan melihat ke hari esok dan menyediakan Malaysia untuk masa depan yang masih kabur, bukan hanya melihat ke hari semalam disulami serangan dan dendam," katanya.

Justeru itulah katanya, sebab kenapa beliau nyatakan bahawa Belanjawan 2019 ini adalah belanjawan yang penting.

"Ia merupakan peluang bagi kerajaan untuk membuktikan bahawa harapan itu bukan hanya atas nama sahaja. Tetapi dizahirkan melalui strategi dan idea," katanya.

Belanjawan 2019 yang diumumkan Kerajaan pada 2 November 2018 memperuntukkan sejumlah RM316.55 bilion bagi perbelanjaan kerajaan baik dari segi mengurus mahupun pembangunan.

Mengulas lanjut mengenai belanjawan ini, katanya ia merupakan belanjawan  terbesar  yang  pernah diumumkan  oleh  kerajaan  sejak  negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.