HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 November 2018

Subsidi bersasar memfokus kepada golongan B40

 

Mekanisme apa yang paling sesuai?

 

Isi Rumah Berpendapatan 40% Terendah (B40) dengan pendapatan RM3,900 ke bawah bakal menjadi fokus utama kerajaan dalam perangkaan subsidi bersasar. Ini adalah kerana golongan miskin ini sentiasa terpinggir dalam arus pembangunan sosio-ekonomi negara.

Peruntukan subsidi sentiasa mendapat tumpuan kerana ia melibatkan kebajikan rakyat. Bajet 2018 memperuntukkan subsidi sebanyak RM3.9 bilion untuk pengangkutan dan barangan tertentu seperti minyak masak, gas dan tepung manakala sektor kesihatan dan pendidikan mendapat peruntukan sebanyak RM26.5 bilion dan RM61.6 bilion masing-masing.

Pelbagai subsidi, bantuan atau elaun kebajikan juga diperkenalkan untuk sektor berlainan termasuk pertanian dan perikanan. Untuk tahun ini, kerajaan bercadang melaksanakan subsidi bersasar petrol – satu topik pembahasan menarik untuk setiap lapisan masyarakat.

 

Apakah mekanisme pemberian subsidi terbaik?

 

Satu persoalan penting yang timbul ialah mengenai kesesuaian dan keberkesanan subsidi tertentu dalam situasi berlainan. Sudahkah kita menemui mekanisme pemberian subsidi yang terbaik? Adakah sistem subsidi kita mampu mengawal kestabilan bekalan pasaran atau mengekang amalan kaut untung seperti penyimpanan stok berlebihan dan mencegah penyeludupan?

 

Siapa dan sektor mana yang disasar? 

 

Bagaimana pula dengan isu penggunaan, pengagihan, penyalahgunaan dan penguatkuasaan subsidi? Apa penambahbaikan yang perlu dilakukan? Apakah kelebihan subsidi bersasar berbanding subsidi pukal? Apakah manfaat sosio-ekonomi yang bakal dicapai?

 

Pembahasan awam dialu-alukan

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang dalam peringkat perbincangan untuk memperkenalkan satu mekanisme baru – subsidi petrol bersasar.

Menurut menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, cadangan tersebut perlu merangkumi aspek kelayakan golongan penerima termasuk jenis kenderaan dan paras pendapatan mereka, keadilan, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan penyaluran sebegini, dan implikasi kewangan kepada kerajaan dari segi pembaziran dan ketirisan.

Sasaran yang dicadangkan adalah kumpulan (B40) yang memiliki motosikal dengan kapasiti enjin di bawah 125cc dan kereta di bawah 1300cc.

“Saya ingin melihat perbahasan rakyat mengenai idea (mekanisme) ini, jadi saya harap perdebatan mengenainya rancak di luar kerana sekurang-kurangnya ia memberi petunjuk kepada kerajaan untuk membuat keputusan,” seru beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya adalah petrol RON95 yang bersubsidi manakala 10 peratus lagi RON97 tanpa subsidi.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, biarpun harga minyak mentah telah meningkat ke USD76 setong setakat ini, kerajaan telah memutuskan untuk menetapkan harga jualan runcit RON95 dan diesel pada RM2.20 dan RM2.18 seliter masing-masing sehingga hujung tahun ini. Ini bermakna kerajaan menanggu subsidi sebanyak 33 sen seliter bagi kedua-dua produk ini dengan peruntukan sejumlah RM3 bilion.

 

Subsidi pengangkutan awam

 

Sektor pengangkutan awam turut menjadi tumpuan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTKSHN) di bawah naungan KPDNHEP, dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, bercadang memberikan subsidi pengangkutan awam kepada golongan B40 demi meringankan beban sara hidup mereka.

Cadangan tersebut meliputi pemberian pas bulanan tanpa had perjalanan bagi Rapid Rail dan Rapid Bus (RRRB) Bersepadu dan diskaun bagi perkhidmatan KTM Komuter.

Menurut Pengerusi MTKSHN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia, kerajaan memerlukan sebanyak RM300 juta setahun untuk melaksanakan skim ini.

 

Apakah pandangan anda?

 

Disebabkan keadaan ekonomi yang berubah mengikut masa, tidak kira apa bentuk penstrukturan semula subsidi, matlamat utamanya adalah memastikan bantuan tersebut benar-benar memanfaatkan golongan sasar. Apa-apa yang memenuhi matlamat selama ini boleh diteruskan manakala yang tersasar perlu dikaji semula. 

 

 Adakah subsidi pertrol bersasar yang dicadang kerajaan merupakan satu langkah bijak yang mampu meringankan beban ekonomi golongang berpendapatan rendah? Apakah kelebihan dan kelemahan subsidi bersasar? Bolehkah mekanisme ini dilaksanakan di sector-sektor yang lain? Sila kongsikan pandangan dan cadangan anda.


Tiada ulasan: