THE MALAYSIAN TIMES
KLANG: Sebanyak 960 kes demam denggi dicatatkan hanya di daerah Klang sejak awal bulan ini dan ia menunjukkan betapa seriusnya penularan wabak berkenaan di kawasan itu, kata Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.
Beliau berkata pada tempoh sama tahun lepas, 203 kes dicatatkan dan peningkatan mendadak itu pada tahun ini menuntut supaya penduduk di Klang memainkan peranan yang lebih proaktif bagi membendung penyakit itu daripada terus berlarutan.
Katanya, wabak itu juga diburukkan lagi dengan dua kematian yang direkodkan sejak awal Disember lepas sehingga kini membabitkan seorang wanita dan seorang remaja di Flat Sri Bahtera, Pulau Indah di sini.
“Awal tahun ini sahaja, jumlah kes demam denggi di Klang adalah yang kedua tertinggi di Selangor dengan satu kematian. Disebabkan itu, saya amat menyarankan semua lapisan masyarakat supaya ambil peduli mengenai perkara ini dengan serius.
“Daripada penelitian, kita lihat rakyat agak kurang fokus dengan tahap kebersihan rumah dan persekitaran. Adakalanya mereka rasa rumah mereka sudah bersih, tapi masih ada tempat tersembunyi yang menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes. Ini mesti diperbetulkan segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun pelbagai kaedah dilaksanakan oleh pihak berwajib antaranya semburan kabus atau ‘fogging’ dan kempen banteras denggi, namun sikap ambil peduli rakyat yang masih rendah mengenai penularan wabak itu dilihat akan terus menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi.
Sehubungan itu, Charles menasihati penduduk Klang supaya menitik beratkan tahap kebersihan kawasan rumah dan sentiasa memberi sokongan kepada PKD Klang yang membuat pemeriksaan berkala di kawasan terlibat bagi memudahkan kerja-kerja membendung wabak itu.
Tambah beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam masa terdekat untuk menawarkan insentif kepada kontraktor pembersihan pihak berkuasa tempatan itu jika dapat mengenal pasti lubang atau lopak yang menakung air di sekitar daerah ini.
Langkah ini akan memudahkan pihak berwajib untuk segera menutup semua lubang atau lopak air seterusnya menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Ini masih dalam peringkat cadangan. Mungkin MPK boleh beri insentif RM3 hingga RM5 kepada kontraktor pembersihannya yang boleh kesan lubang atau lopak untuk segera ditutup. Kita boleh dikatakan berada dalam tahap kecemasan (wabak denggi) maka tindakan kita mesti cepat dan komprehensif,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed pula berkata antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang paling banyak direkodkan adalah di dalam rumah dan justeru, masyarakat diminta memberi kerjasama sekiranya anggota PKD itu datang membuat pemeriksaan.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan sejak awal bulan ini, sebanyak sembilan kompaun berjumlah RM500 setiap satu telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.
“Ada rumah yang mempunyai kolah air ataupun ada yang tadah air sebab sinki bocor dan sebagainya.
Hal sebegini kita sarankan supaya mereka sering bersihkan bekas tadahan dan jika tinggalkan rumah dalam tempoh lama, terbalikkan bekas itu supaya tidak berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana individu yang dijangkiti demam denggi supaya tidak bercampur gaul dengan masyarakat bagi mengelakkan penularan virus itu selain sentiasa mengguna penghalau nyamuk t) dan menyembur aerosol di dalam rumah.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan