HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Januari 2019

Henti 'berdrama' di Cameron Highlands, kata aktivis PSM

MALAYSIAKINI

   
PRK Cameron Highlands | Aktivis PSM, Suresh Kumar menggesa calon-calon pada pilihan raya kecil Cameron Highlands agar menghentikan "drama" dan serius menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Suresh, yang bertanding di kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum lepas, berkata calon bertanding harus berhenti berpura-pura bahawa mereka bekerja dengan masyarakat setempat - terutama Orang Asli, yang membentuk lebih daripada satu perlima daripada jumlah pengundi.

"Anggota parlimen akan datang, sama ada dari BN atau Pakatan Harapan, harus menghentikan drama itu.

"Berhenti berpura-pura dan lakukan dengan serius.

"Jangan katakan bahawa kamu telah bekerja dengan Orang Asli selama ini dan bahawa mereka telah dijaga. Come on lah, "katanya.

Suresh juga mengulas lawatan pemimpin DAP, Lim Kit Siang ke penempatan Orang Asli di Cameron Highlands apabila beliau terperangkap di Kampung Orang Asli Semoi Lama pada Malam Tahun Baru, bersama calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran.

"Apabila saya melihat Lim memasuki penempatan itu, saya fikir apakah peranan yang akan dimainkannya (di Cameron Highlands)?

"Sekiranya ada sesuatu yang perlu diperkatakan, mengapa perlu keluar dari mulut Lim? Mengapa bukan Manogaran yang menyuarakannya?

"Jangan cakap kamu perlu bawa Lim jika ingin menimbulkan sesuatu. Jadi apa tujuan kamu sebagai seorang ahli politik yang mewakili Cameron Highlands?" soalnya.

Rampasan tanah

Aktivis yang pernah berkhidmat di Cameron Highlands selama 15 tahun itu berkata terdapat empat isu utama di kawasan itu yang memerlukan penyelesaian segera iaitu tanah adat Orang Asli, pembalakan, jalan raya dan nasib mereka yang berpendapatan rendah (B40).

Mengenai tanah adat, beliau berkata masyarakat Orang Asli tidak diberikan hak tanah, kecuali beberapa kes di Selangor.
 Suresh berkata etnik Semai di Kampung Raja dan Temiar di sempadan Gua Musang sentiasa menghadapi ancaman dan pengusiran dari tanah mereka.

Beliau dan masyarakat Orang Asli telah menghantar memorandum ke pejabat Menteri Besar Kelantan sebanyak tiga kali berhubung pengusiran ini dan pernah menganjurkan protes di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang.

Masyarakat Orang Asli, katanya, tidak hanya menghadapi ancaman daripada pihak berkuasa dan pemaju, malah dari kalangan masyarakat setempat juga.

Beliau mendedahkan cubaan seorang guru di Cameron Highlands dan rakan-rakannya menipu Orang Asli untuk mendapatkan enam ekar tanah - yang hanya dapat dihalang apabila mereka membuat laporan polis.

Tiada ulasan: