PUTRAJAYA – Kerajaan akan mendefinisikan perkataan atau
perbuatan yang boleh dianggap sebagai menghina institusi diraja, kata
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas isu penahanan tiga individu di bawah Akta Hasutan
1948 berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap
Sultan Muhammad V, beliau berkata definisi sebenar perbuatan atau
perkataan menghina itu perlu untuk penguatkuasaan pada masa akan datang.
“Pada masa ini pihak penguat kuasa tidak faham apa yang
dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu ‘spell out’ (nyatakan) apa
perbuatan atau perkataan yang dianggap sebagai menghina,” katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet
Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.
Ditanya mengenai undang-undang baharu yang akan digubal
untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina,
seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui
Keong hari ini, Dr Mahathir secara ringkas berkata kerajaan akan melihat
definisi menghina yang lebih tepat.
Penahanan tiga individu terbabit semalam bagi membantu
siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan di
media sosial berkaitan isu Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-15, mendapat kritikan pihak-pihak tertentu.
Dr Mahathir berkata Malaysia kini mengamalkan kebebasan
bersuara di mana individu yang bercakap perkara yang berfakta tidak
boleh disalahkan.
“Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga
apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut, akan berlaku
ketidakadilan dalam negara kita,” katanya.
Ditanya mengenai agendanya menghadap Sultan Johor Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene yang dijadualkan petang
ini, Dr Mahathir berkata: “Saya nak jumpa baginda, itu saja.”
Sebuah akhbar tempatan yang memetik sumber Pejabat Perdana
Menteri melaporkan Sultan Johor berkenan untuk menerima Dr Mahathir
menghadap dan ia merupakan yang pertama kali sejak beliau menjadi
Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ditanya sama ada pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang
baharu akan dibincangkan semasa menghadap Sultan Ibrahim, sumber itu
memberitahu terdapat banyak perkara yang perlu dimaklumkan dalam
pertemuan tersebut.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan