Sehari selepas MyPPP dibatalkan pendaftarannya, pemimpin parti itu M Kayveas dilaporkan meluah kekecewaan berdasarkan pengalamannya menjadi sebahagian daripada BN.
Kata Kayveas selepas menunjukkan kesetiaan kepada parti terbabit balasan yang diterima pula tidak seperti yang diharapkan.
"Lama saya setia kepada BN tetapi pada saat akhir kita lihat BN tak setia kepada kita.
"Ini adalah kesetiaan sebelah pihak. Saya jadi hiasan saja," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Kayveas yang pernah menjadi timbalan menteri menambah partinya mengambil masa lama untuk sedar bahawa mereka dipergunakan tiga parti utama dalam BN.
Untuk beberapa ketika MyPPP - dulunya dikenali sebagai Parti Progresif Rakyat atau PPP - bergelut untuk mendapat kerusi dalam sesebuah pilihan raya.
Kayveas sendiri cuba mendapatkan kerusi Cameron Highlands sebelum PRU ke-14 lalu namun gagal.
MyPPP diberikan kerusi parlimen Segambut namun seperti dijangka mereka gagal merampasnya daripada penguasaan DAP.
Seperti kebanyakan parti lain, MyPPP juga meninggalkan BN selepas gabungan tersebut ditolak pengundi pada 9 Mei 2018.
Parti itu juga berdepan dengan konflik dalaman apabila wujud dua kumpulan yang cuba menguasai kepemimpinannya.
Semalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran MyPPP dan ia dimaklumkan melalui sepucuk surat kepada kedua-dua kem.
Menurut Kayveas beliau tidak menyesal dengan keputusan membawa MyPPP meninggalkan BN selepas apa yang berlaku ke atas mereka.
"Kami bekerja di lima kerusi di bahagian kami untuk PRU ke-14 tetapi kami tidak diberitahu kerusi tersebut sudah diberi kepada parti lain.
"Tidak ada mesyuarat dipanggil untuk pengagihan kerusi (walaupun) kami sepatutnya dapat lima kerusi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan