HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Januari 2019

Penduduk dakwa kesihatan terjejas akibat bau busuk dari kilang proses getah

Keadaan dalam kilang pemprosesan getah yang didakwa mengeluarkan 
bau busuk sehingga menjejaskan kesihatan penduduk sekitar dan 
beroperasi sehingga tengah malam.

SUNGAI BULOH: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunggu laporan lengkap Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum mengambil tindakan terhadap sebuah kilang pemprosesan getah yang didakwa mengeluarkan bau busuk sehingga memudaratkan kesihatan penduduk setempat.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan MBSA, Zawawi Md Isa berkata JAS diminta mengenal pasti puncanya, susulan aduan penduduk yang mendakwa kesihatan mereka terjejas akibat bau busuk itu.

“Kita bukan mahir tentang alam sekitar, jadi pihak JAS boleh beri penjelasanlah sebab isunya ialah bau sahaja.

“Kita tidak boleh tutup terus premis perniagaan ini. Kita kena tengok, sebab kita ada prosedur,” katanya selepas meninjau kilang itu yang terletak bersebelahan rumah penduduk di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh, hari ini.

Wong Chang Heng, 51, yang tinggal di kawasan itu sejak dilahirkan mendakwa antara masalah kesihatan dialami penduduk setempat ialah batuk, asma dan hidung berdarah.

Selain bau busuk, katanya, kilang itu turut mengeluarkan bunyi bising sehingga lewat malam.

Beliau yang mewakili lebih 150 penduduk setempat berkata, beberapa laporan sudah dibuat kepada pihak berkaitan, tetapi tiada tindakan diambil setakat ini.
Zawawi Md Isa (4 dari kiri) dan Shatiri Mansor (3 dari kanan) 
bersama penduduk selepas melawat kilang pemprosesan getah 
di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh, hari ini.
“Ibu saya juga pernah ditahan di wad selama 2 minggu kerana bau yang dikeluarkan. Kami sudah tahan selama 2 tahun dan tidak sanggup untuk hadap lagi,” katanya sambil menambah lokasi kilang itu pada asalnya ialah kawasan pertanian.

Susulan itu, Zawawi berkata, kilang yang mempunyai permit perniagaan dan beroperasi secara sah itu, diarahkan menjalankan pembersihan dan dilarang beroperasi di luar waktu ditetapkan, iaitu dari 8 pagi hingga 6 petang, berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Adun Kota Damansara, Shatiri Mansor yang berharap kilang itu dipindahkan segera, akan menemui pihak pengurusannya dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Tadi dia kata dia nak pindah, saya kira itu berita gembira kepada penduduk, nampak kerjasama yang baik dari pihak kilang. Nak pindah itu dah bagus, isu yang kita nak tengok sekarang, berapa lama, bila nak pindah?

“Hari demi hari, kalau ditunda ini memberi kesengsaraan kepada penduduk. Baunya busuk. Bau getah.”

Tiada ulasan: