PRK CAMERON | Bagi Adun Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof, PRK Cameron Highlands sedikit berbeza dengan PRK sebelum ini yang mana kebanyakannya diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya.
Namun menurut Edry, PRK Cameron Highlands berlaku susulan "integriti yang telah mati".
"Dulu PRK diadakan sebab (wakil rakyat) meninggal dunia, tapi kali ini sebab integriti yang meninggal. PRK ini diadakan untuk hidupkan (kembali) amanah, pilih pakatan yang bagus.
"Dacing sudah tak stabil beratnya - ke kiri dan ke kanan. Kita lihat ramai wakil rakyat keluar dari BN jadi bebas. Jadi buat apa nak pilih ketidakstabilan dan tidak tentu arah?" soalnya ketika berucap di program pengenalan calon PH di Felda Sungai Koyan 3, Jelai malam tadi.
Justeru, kata adun DAP itu lagi, pengundi seharusnya memilih PH yang merupakan gabungan politik yang stabil dan bersatu padu.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan PRU ke-14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.
Hakim Azizah Nawawi berkata calon DAP M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan kepada Sivaraajh yang juga adalah naib presiden MIC.
Antara wakil rakyat PH lain yang turut memberikan ucapan adalah Adun Ketari Young Syefura Othman dan Adun Titi Serong hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Program itu bermula lewat lebih sejam daripada yang sepatutnya dan disertai tidak lebih 50 hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan