HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Januari 2019

Rakyat Kelantan hormati keputusan peletakan jawatan Agong

MALAYSIAKINI

   
Peletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 semalam mengejutkan rakyat negeri ini.

Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan, A Aziz Deraman berkata keputusan itu sudah pasti menimbulkan tanda tanya kerana semua sedia maklum akan keperibadian sultan yang berjiwa rakyat itu.

"Namun sebagai rakyat kita terima keputusan yang dibuat itu dengan hati terbuka kerana sudah tentu keputusan itu dibuat dengan kebijaksanaan baginda yang telah mengambil kira semua perkara," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

A Aziz menegaskan, apa yang lebih penting ketika ini adalah institusi beraja perlu sentiasa diperkukuh dan dihormati oleh semua rakyat kerana ia lambang kedaulatan negara.

Rakyat perlu tahu dan sedar akan kepentingan institusi beraja termasuk kedudukan Agong dalam tampuk pemerintahan negara, tegasnya.

"Siapapun yang akan menggantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas ini, kita, rakyat perlu tumpahkan taat setia dan kukuh bersama mempertahankan institusi beraja di negara ini," katanya.

Penasihat Persatuan Siam Kelantan Eh Chot Cha Chan berkata masyarakat Siam sentiasa menumpahkan taat setia dan menghormati keputusan yang dibuat Sultan Muhammad V itu.

Katanya walaupun masih terkejut dengan keputusan itu, masyarakat Siam gembira dengan kepulangan Sultan Muhammad V ke Kelantan kerana akan memayungi semula pemerintahan di negeri ini.

"Kita doakan tuanku terus diberi kesihatan yang baik dan dapat memayungi rakyat dengan aman dan makmur," katanya.

Tiada ulasan: