Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan
memantau kandungan dan maklumat yang disebarkan dalam media sosial
terhadap institusi raja di negara ini khususnya menjelang pemilihan dan
pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, kata Menteri Komunikasi dan
Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.
“Kita mempunyai sistem pemantauan dalam SKMM. Apabila laporan dibuat, maka siasatan akan dijalankan. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan keputusan akan dibuat nanti.
“Saya berpendirian agar semua pengguna (media sosial) perlu berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung komen-komen terhadap institusi raja dalam media sosial khususnya menjelang pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jan serta acara mengangkat sumpah kedua-dua jawatan itu pada 31 Jan ini.
Gobind
berkata, KKMM memandang serius mengenai penularan berita palsu atau
berunsur fitnah melalui media sosial yang semakin menjadi-jadi yang akan
menyemai kebencian dan menyemarakkan keresahan dalam kalangan
masyarakat.
Sementara itu, Gobind berkata KKMM telah memulakan tindakan mengkaji semula beberapa akta di bawah kementerian termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Sambil memberi contoh, beliau berkata kementerian akan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan mengenakan penalti yang tinggi kepada pemegang lesen yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan SKMM.
“Tindakan yang lebih tegas ini menunjukkan kementerian serius dalam membangun dan memperkukuh sistem infrastruktur agar mereka (pemegang lesen) tidak melanggar sebarang arahan dan undang-undang.
“Saya berharap kita
dapat lakukan (pindaan) pada sesi akan datang iaitu pada Mac tahun ini,
namun ia terpulang sama ada kita mempunyai masa atau tidak kerana banyak
lagi rang undang-undang yang akan dikemukakan pada sesi kali ini,”
katanya.
“Saya telah pun mengadakan perjumpaan dengan pihak berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan pendapat dari mereka. Saya berharap kita dapat melaksanakan pada bulan Mac juga,” katanya.
Seksyen 233 akta itu adalah berkenaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan