Wartawan Watan-Online
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mengakui tidak terkesan dengan tuduhan pihak Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa dirinya cuba memberi rasuah berbentuk gula-gula kepada kanak-kanak orang Asli sewaktu kempen PRK Cameron Highlands.
Beliau berkata foto dirinya yang tersebar bersama kanak-kanak orang Asli itu jelas merupakan reaksi tindak balas terhadap foto gambar jentera PH memberi wang yang tular baru-baru ini.
“Saya cuma tersenyum apabila ada kawan hantar gambar tangkapan skrin paparan berkenaan.
“Saya percaya ini adalah tindak balas terdesak untuk alih perhatian rakyat selepas gambar-gambar jentera PH yang memberi duit kepada masyarakat Orang Asli pada hari penamaan calon tempoh hari,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.
“Kalaupun PH tertekan dengan bermacam-macam isu yang makan diri mereka sendiri, tak perlulah sampai lempar fitnah kepada jentera-jentera Barisan Nasional (BN),” katanya.
Terdahulu, gambar Zahida mendukung kanak-kanak orang Asli di Cameron Highlands yang sedang memakan gula-gula ditularkan oleh laman sosial pro PH.
Mereka mendakwa pemberian Zahida merupakan satu bentuk rasuah kerana diberikan dalam tempoh PRK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan