Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangguh penurunan harga runcit petrol hanyalah helah bagi mengaut keuntungan lebih daripada rakyat, ujar ahli Parlimen PAS Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman.
Menurut beliau, kerajaan tidak berlaku jujur apabila dilihat menangguh gerakerja bagi menurunkan harga petrol walaupun keputusan tersebut sudah diumum dalam Belanjawan 2019 pada November lalu.
“Sejak diumumkan dalam Bajet 2019 pada awal November lalu, kenapa baru sekarang Kerajaan mahu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Petroleum Dealers Associations of Malaysia (PDAM) bagi memuktamadkan isu ini sedangkan PDAM adalah antara pemegang taruh yang utama dalam isu ini?
“Jelas sekali bahawa tindakan menangguhkan ini menunjukkan sebenarnya Kerajaan mahu mengaut keuntungan daripada rakyat dengan membuat helah,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin turut mendedahkan bahawa kerajaan telah menikmati keuntungan sebanyak 0.30 sen seliter sejak Disember apabila mengambil keputusan untuk mengekalkan bahan api pada harga RM2.20 seliter.
“Berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan APM, sepatutnya sejak awal Disember lalu RON95 dijual pada harga RM1.90 seliter.
“Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan api ini pada harga RM2.20 seliter, Kerajaan mengaut untung sebanyak 30 sen bagi setiap liter daripada pengguna.
“Menjelang tahun baru, sekali lagi pengguna diminta terus menanggung “subsidi” untuk Kerajaan,” ujar beliau.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan memaklumkan harga runcit petrol RON 95 kekal pada RM2.20 seliter.
Pengekalan harga runcit tersebut turut terpakai kepada RON97 dengan RM2.50 seliter dan diesel pada harga RM2.18 seliter.
Guan Eng dalam kenyataan tersebut dilaporkan berkata pengekalan tersebut mengambil kira pandangan semua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan