Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menafikan dakwaan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, M Veeran yang menuduh beliau "sangat sibuk di Cameron Highlands" dan sebaliknya menjelaskan bahawa beliau berada di kawasan parlimennya sepanjang minggu lalu.
Veeran membuat tuduhan itu sebelum ini ketika membangkitkan isu pengambilan khas pelajar India ke kolej matrikulasi dan mendakwa usahanya mendapatkan penjelasan berhubung isu itu dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sia-sia "selepas Teo sangat sibuk di Cameron Highlands".
Teo dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan tuduhan Veeran sebagai tidak berasas dan fitnah.
"Saya belum lagi berkunjung ke kawasan itu khususnya sejak hari penamaan calon pilihan raya kecil bagi kawasan Cameron Highlands, sebaliknya menghadiri program Kementerian dan berada di kawasan parlimen saya (di Kulai) sepanjang minggu lalu.
"Sehubungan itu, saya memohon beliau menarik balik kenyataan tersebut dengan serta-merta kerana ia menjejaskan nama dan reputasi saya," katanya.
Terdahulu, Veeran menggesa KPM menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN.
Veeran berkata, kaum India ketika ini keliru berhubung isu berkenaan memandangkan tiada maklumat terbaru.
Dalam kenyataan berasingan hari ini, KPM menjelaskan bahawa Menteri Pendidikan Maszlee Malik sudah memberi arahan berhubung pengambilan berkenaan.
"Sebagai makluman KPM telah melaksanakan sistem pengambilan pelajar India (ke kolej matrikulasi) bermula 2012 dengan jumlah pengambilan 1,500 orang pelajar.
"Jumlah tersebut telah ditambah sebanyak 700 orang pada tahun 2018 menjadi 2,200 orang pelajar apabila Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan bahagian berkenaan berbuat demikian demi memberikan laluan pendidikan kepada kaum India," kata kenyataan itu.
Untuk rekod, penambahan 700 pelajar dari 1,500 sedia ada diumumkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada April tahun lalu.
Selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu yang membawa kepada pertukaran kerajaan pusat, Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan dan Teo sebagai timbalannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan