HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 April 2019

Gaji permulaan meningkat, gaji sebenar menurun

MENURUT Bank Negara Malaysia, dalam persekitaran ekonomi semasa, tahap dan bebanan kos sara hidup masih menjadi topik yang sering menimbulkan perbincangan hangat.syahir2Memetik Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 dan kaji selidik gaji yang diterbitkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia, gaji permulaan (starting salary) graduan di Malaysia masih lagi pada tahap sederhana.
 
Namun selepas mengambil kira faktor inflasi (indikator kos sara hidup), gaji permulaan ‘sebenar’ (real starting salary) bagi kebanyakan siswazah telah menurun pada tahun 2018 berbanding tahun 2010:
 
- Lulusan diploma RM1,376 (2010: RM1,458)
- Lulusan ijazah RM1,983 (2010: RM1,993)
- Lulusan sarjana RM2,707 (2010: RM2,923)
 
Di samping itu, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah juga mendapati 95% daripada pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran manakala 50% daripada pekerja yang membuat pekerjaan berkemahiran rendah secara manual mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh jenis pekerjaan sedemikian. 
 
Cabaran:
 
Situasi kejatuhan gaji permulaan ‘sebenar’ menunjukkan ekonomi negara tidak mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan.
 
Oleh itu, walaupun berpendidikan tinggi, pekerja terpaksa menerima atau membuat pekerjaan yang lazimnya tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi sedemikian.
 
Akibatnya, dengan bekalan siswazah yang lebih daripada mencukupi dan permintaan syarikat untuk siswazah yang tidak banyak berubah, gaji siswazah terus menghadapi tekanan menurun. 
 
Cadangan Polisi: 
 
Objektif ini akan dapat dicapai dengan mengambil langkah-langkah pembaharuan pasaran pekerja (labour market) yang menyeluruh, antaranya:
 
1. Menjana permintaan terhadap pekerja yang berkualiti (industri berkemahiran tinggi)
2. Mengurangkan ketidakpadanan tenaga kerja (IPT dan industri)
3. Mewujudkan pasaran pekerja yang kondusif (kerajaan dan majikan)
4. Meningkatkan keboleh-pekerjaan (employability) graduan (IPT dan kerajaan)
5. Meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan di kalangan graduan (mahasiswa)

Dalam langkah seterusnya untuk melonjakkan ekonomi bertunjangkan inovasi, penting untuk memastikan kebajikan tenaga kerja di Malaysia terpelihara dengan baik. Dengan demikian pekerja akan terus mempunyai motivasi untuk meningkatkan produktiviti mereka sekali gus mencipta nilai yang lebih besar dalam ekonomi negara.

Ringkasan oleh Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM – HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: