PRK RANTAU | Walaupun sebahagian pengundi Melayu bersikap 'senyap' namun calon PH, Dr S Streram, tetap yakin mereka adalah penyokong yang akan memberikan undi kepada parti kerajaan pada 13 Apr ini.
Menurut anggota PKR yang menggelarkan dirinya sebagai Dr Rakyat, Streram juga mendakwa sokongan pengundi Melayu kepada PH kini semakin meningkat, sejajar dengan hari mengundi yang kian hampir.
"Saya nak beritahu pengundi Melayu kuat. Mereka silent (diam) saja, tapi saya rasa mereka akan sokong saya pada PRK ini," katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di sebuah gerai Jalan Kampung Linsum, Rantau hari ini.
Kempen untuk PRK Rantau bermula secara rasmi sejak 31 Mac lalu. Streram akan cuba merampas kerusi DUN Rantau daripada penyandangnya, Mohamad Hasan.
Untuk rekod Mohamad ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan dan kini menjalankan tugas sebagai presiden Umno dan BN.
Menurut Streram, pengundi Rantau lazimnya tidak menunjukkan sokongan secara terbuka, malah bukan semua mahu hadir mendengar ceramah politik.
Bagaimanapun katanya pengundi terbabit sudah membuat keputusan awal untuk memberikan sokongan kepada PH.
Malah kata pakar bisu yang pernah memberikan khidmat sukarela di beberapa negara termasuk Syria dan Afghanistan itu dia yakin akan mendapat lebih banyak undi simpati daripada pengundi Rantau.
"Saya percaya mereka simpati terhadap saya sebab saya dinafikan bertanding di PRU. Namun, saya terus berjuang sehingga ke mahkamah untuk bertanding pada PRK ini," ujarnya.
Sementara itu, Streram yakin akan memperolehi sokongan Melayu dengan peratus yang realistik.
"Saya percaya secara minimum 20 hingga 30 peratus pengundi Melayu akan menyokong. Kalau dapat angka minimum ini pun saya akan gembira.
"Bagi pengundi bukan Melayu, saya meletakkan sasaran antara 70 peratus hingga 80 peratus dan ia memadai untuk PH menang," katanya.
Namun pada masa sama Streram masih menganggap dirinya sebagai calon yang tidak memiliki banyak kelebihan (underdog).
"Sokongan Melayu kuat. Ini kerana saya bantu mereka. Mereka selalu minta bantuan bagi menyelesaikan masalah mereka.
"Walaupun orang Melayu, saya tetap beri bantuan untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah mereka," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan