HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 April 2019

PRK Rantau: Streram cadang golongan muda libat industri pertanian

Sahlizah Mohamed, Astro Awani
PRK Rantau: Streram cadang golongan muda libat industri pertanian
Streram (tengah) ketika berkempen sebagai calon di PRK DUN Rantau. -Astro AWANI
 

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram mencadangkan agar golongan muda di Rantau melibatkan diri dalam industri pertanian.

Menurut Streram, industri itu diyakini mampu membantu meningkatkan ekonomi orang muda di pekan kecil itu seperti menanam kelapa atau pun sayur-sayuran.

“Di DUN (Dewan Undangan Negeri) ini kita galakkan mereka buat pertanian. Bidang pertanian seperti diketahui merupakan asas sesebuah negara.

“Ada banyak tanah yang boleh diusahakan dan sebab itu kita akan galakkan mereka buat pertanian untuk dapat pendapatan yang lebih kerana ia tidak memerlukan pelaburan yang banyak,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di Kampung Sawah, Rantau untuk program minum pagi bersama masyarakat menjelang hari ketiga kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.

Sebelum ini, tinjauan Astro AWANI ketika bertemu dengan golongan muda di kawasan berkenaan mendapati ruang dan peluang pekerja di Rantau amat terhad.

Ia sekali gus menyukarkan golongan itu untuk mendapatkan pekerjaan bagi menjana pendapatan mereka.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu turut memberitahu tenaga pengajar dari instituti kemahiran dalam negara akan mengadakan kursus kemahiran khas buat golongan muda di Rantau.

“Mereka beritahu saya akan menjalankan kursus latihan kemahiran bagi pemuda di sini.

“Latihan itu akan memfokuskan kemahiran yang ada pada setiap individu sebelum ditempatkan dalam sektor pekerjaan yang sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pakar bius itu tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan institusi pengajian tinggi (IPT) di Rantau.

“IPT tidak ada di sini. Yang ada dekat Pedas iaitu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) manakala di Seremban pula Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Namun pelaksanaan itu akan dibuat sekiranya faktor kewangan mengizinkan. Saya fikir kita mungkin akan bina kolej di sini jika ada pelabur yang berminat,” katanya.

Tiada ulasan: