
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Dr Maszlee
Malik hari ini menafikan timbalannya, Teo Nie Ching, cuba mencampuri
urusan silibus Pendidikan Islam.
Menurutnya, Teo hanya berkongsikan usaha yang
dijalankan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang sedang
menjalankan tinjauan berkaitan cadangan menambah baik mata pelajaran
Pendidikan Islam.
“Survey (tinjauan) tersebut telah dikeluarkan
di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) dan kemudian timbalan menteri
telah kongsikan di media sosial beliau.
“Lalu ada orang yang telah snap gambar
tersebut dan timbulkan isu kononnnya timbalan menteri nak campur tangan
dalam silibus Pendidikan Islam, itu tidak benar,” katanya kepada media
pada majlis jalinan mesra Menteri Pendidikan bersama warga Kementerian
Pendidikan di sini hari ini.
Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai
hantaran Teo dalam laman sosial Facebook miliknya yang mengalu-alukan
semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan
idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).
PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April
lepas bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran
Pendidikan Islam bagi tujuan penambahbaikan.
MPPK dalam satu kenyataan pada Selasa (18 Jun)
berkata PPKPI melaksanakan tinjauan dalam talian bagi melihat pandangan
yang relevan dan sesuai untuk diambil kira bagi meningkatkan kualiti
mata pelajaran Pendidikan Islam.
Maszlee berkata tidak timbul isu Teo
mengumumkan perkara tersebut kepada umum atau dilihat mendahului dirinya
memandangkan inisiatif MPPK itu telah diumumkan di laman web KPM
terlebih dahulu sebelum dikongsikan oleh Teo di media sosialnya.
“Ia merupakan projek MPPK bukan projek timbalan menteri,” katanya.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan