HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Jun 2019

Saya tak rapat dengan Haziq, hanya tahu dia ahli PKR, kata Azmin

Azmin Ali berkata, fokusnya sekarang ialah memastikan ekonomi 
negara terus berkembang dan tahap keyakinan tinggi dalam 
kalangan pelabur untuk terus melabur di Malaysia.

PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata, beliau tidak rapat dengan setiausaha sulit timbalan menteri industri utama, Muhammad Haziq Aziz yang hanya dikenalinya sebagai ahli PKR pernah bersama Barisan Nasional.

“Saya kenali dari jauh sebab dia ahli parti. Dia pernah jadi ahli kemudian menyertai pembangkang, namun setelah kita menang (pilihan raya umum ke-14), beliau lompat semula ke PKR.

“Ini karakter individu yang diperalatkan dalam fitnah ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.

Azmin berkata, setiausaha politiknya sudah membuat laporan polis pagi tadi berhubung dakwaan Haziq yang menamakannya sebagai pasangannya dalam hubungan seks sejenis itu.
“Berdasarkan pandangan yang diberi peguam-peguam saya, dengan laporan polis sedia ada, sudah membolehkan polis jalankan siasatan.

Timbalan presiden PKR itu berkata, fokusnya sekarang ialah memastikan ekonomi negara terus berkembang dan tahap keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur untuk terus melabur di Malaysia.

“Saya terlalu sibuk dengan kementerian saya. Kementerian ini besar. Saya di sini bukan hendak cakap pasal politik. Saya jarang bercakap politik kerana saya mahu berikan khidmat terbaik pada rakyat.”

Terdahulu, Kementerian Industri Utama menggantung tugas Haziq serta-merta dan memberi 3 hari kepadanya untuk menjawab surat tunjuk sebab, selepas beliau memuat naik rakaman video 30 saat di Facebook semalam yang mengaku dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis dengan Azmin.

Beliau mendakwa kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Semalam, Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq.

Penggantungan Haziq menyusul beberapa jam selepas beliau hari ini mempersoalkan kejujuran kerajaan Pakatan Harapan, ekoran pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya semalam.

Katanya, hubungan seks yang didakwa dilakukannya dengan Azmin bukan kejadian pertama dan menuduh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham memaksanya menarik balik tuduhan ke atas Azmin.

Haziq turut menyifatkan Azmin sebagai “lelaki sakit” dan menuduhnya merakam video itu untuk dijadikan “koleksi peribadi”.

Tiada ulasan: