Wan Rohimi Wan Daud
Wan Rohimi Wan Daud
KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Hanipa Maidin sebagai angkuh apabila menolak pandangan pemimpin parti itu berhubung cadangan kerajaan hendak memansuhkan Akta Hasutan.

Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, timbalan menteri itu juga mempamerkan watak sombong dan bongkaknya ketika menyanggah kenyataan media Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi dan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru agar Akta Hasutan dikekalkan dan tidak disalahguna.

“Dia bersikap merapu apabila meminta Abdul Hadi diam dan tutup mulut kerana kononnya Presiden Pas itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai Akta Hasutan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Akta Hasutan perlu dikekalkan kerana kehebatan sesebuah negara sangat bergantung kepada kehebatan undang-undang.

Ini katanya, bagi merealisasikan dasar dalam perlembagaan, dan kerana itu, peranan undang-undang adalah penting untuk memelihara kehidupan bermasyarakat yang seimbang dan menjaga segala kepentingan semua lapisan masyarakat dan ras yang pelbagai.

Sehari sebelum itu, Tuan Ibrahim mendesak kerajaan tidak terburu-buru menghapuskan Akta Hasutan, dan hendaklah mempertimbangkan semua faktor serta jangkaan masa hadapan demi menjaga kestabilan negara.

Namun, malang sekali kata Wan Rohimi, Mohamad Hanipa dengan angkuhnya menolak secara total pertimbangan kewajaran fakta dan keresahan masyarakat sebagaimana yang diutarakan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.

“Dia mendabik dada kononnya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai akta itu kerana pernah disiasat di bawah Akta Hasutan dan pernah pula mewakili anakguam yang didakwa di bawah akta itu.

“Sandaran utama beliau ialah kerana di bawah Akta Hasutan, kebenaran kata-kata bukan pembelaan.

Tiada keperluan untuk pendakwaraya membuktikan seseorang itu menghasut. Cenderung sahaja sudah dianggap salah,” katanya.

Katanya, LUHAM bersetuju sekiranya undang-undang itu diberikan nafas baharu dengan beberapa pindaan yang boleh mengurangkan ruang penyalahgunaan seperti meminda atau memansuhkan rujukan kepada mana-mana kerajaan dan pentadbiran keadilan di Malaysia atau mana-mana negeri.

Ujar beliau, dalam sebuah negara yang mendokong prinsip demokrasi, sudah tentu kritikan terhadap kerajaan adalah sebahagian dari proses semak dan imbang yang tidak wajar dikekang.

“Peruntukan yang berkait dengan hasutan terhadap kerajaan kebiasaannya bersifat politik dan tidak mempunyai garis pemisah yang jelas.

“Begitu juga kekaburan definisi hasutan terhadap kerajaan sewajarnya dikemaskini untuk mengembalikan roh yang wajar kepada Akta Hasutan.

“Oleh itu, penilaian semula definisi dan keperluan menjadikan pentadbiran keadilan sebagai suatu subjek di bawah Akta Hasutan juga sangat wajar,” katanya.

Beliau turut menempelak Mohamad Hanipa yang mungkin terlupa, sebagai anggota kerajaan dengan kapasiti Timbalan Menteri Undang-Undang beliau berada pada posisi terbaik untuk menyediakan cadangan mengemaskini dan meminda peruntukan yang dianggap zalim atau cenderung kepada kezaliman itu.

“Beliau sepatutnya mengembalikan atau memperbetulkan roh sebenar Akta Hasutan, bukan memansuhkan secara total.

“Malangnya, walaupun sudah diamanahkan posisi yang tepat, Mohamad Hanipa lebih gemar membuang masa di Facebook dengan mengutarakan hujah picisan dan disulami watak sombong yang memualkan,” katanya. – MalaysiaGazette