
Dalam menyambut baik pengekalan semula penarafan kredit itu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ini kerana jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah dikurangkan.
Lim berkata, walaupun nisbah hutang langsung kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada 51.2% pada tahun 2018 daripada 50.1% pada tahun 2017, hutang langsung hanyalah sebahagian daripada keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan.
“Selain daripada hutang langsung, hutang dan liabiliti kerajaan mengambil kira komitmen jaminan kerajaan dan pajakan kewangan serta liabiliti lain seperti hutang 1MDB yang perlu dibiayai secara langsung oleh kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pengekalan penarafan itu juga menunjukkan keyakinan syarikat penarafan kredit tersebut terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia yang pesat, profil institusi negara yang baik, asas ekonomi yang kukuh, serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi.
Katanya, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh sebanyak 4.6% pada tahun ini, selain kadar inflasi yang rendah dan stabil pada 0.2% untuk bulan Mac, April dan Mei telah menggalakkan pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta.
“Tambahan lagi, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memotong Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00% telah mengurangkan kos pinjaman bagi pengguna.
“Kesannya dapat dilihat, antara lain, daripada bilangan kenderaan yang dijual untuk tempoh Januari-Mei 2019 meningkat sebanyak 13% tahun-ke-tahun berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Lim berkata, lencongan perdagangan berpunca daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat membolehkan pertumbuhan eksport Malaysia sekali lagi mengatasi unjuran pasaran.
“Bagi bulan Mei 2019, eksport negara naik 2.5% kepada RM84.1 bilion daripada RM82.1 bilion setahun lalu.
“Peningkatan 2.5% ini mengatasi konsensus pasaran serendah 2.2% seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg,” kata beliau.
Menurutnya, pertumbuhan eksport yang berterusan turut meningkatkan lebihan dagangan negara untuk 5 bulan pertama tahun 2019 sebanyak 4.3% kepada RM56.8 bilion daripada RM54.5 bilion setahun lalu.
Lim berkata, langkah memperhebatkan pertumbuhan ekonomi serta pembaharuan institusi akan mengembalikan kepercayaan awam kepada kerajaan serta memperbaiki suasana perniagaan dalam negara.
Selain itu katanya, ia akan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan lebih baik, serta pendapatan isi rumah lebih rancak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan