HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Julai 2019

Nik Abduh: Sokong kerjasama Umno-PAS nikmati rasa tenang, khusyuk

MALAYSIAKINI

   

Orang yang menyokong kerjasama Umno-PAS akan beroleh ketenangan, sebaliknya hati pihak yang mahu dua parti itu terus berbalah akan terus dikuasai kemarahan dan kebencian, kata AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

"Mereka yang menyokong kerjasama Umno-PAS akan menikmati rasa tenang dan sakinah (tenteram) dalam diri. Rasa khusyuk dan aura positif akan menguasai diri.

"Adapun mereka yang tetap mahu mengekalkan perbalahan Umno-PAS dan memusuhi usaha perpaduan di dalam politik dan hidup bermasyarakat tersebut, hati mereka akan terus dikuasai kemarahan, kebencian dan rasa tidak puas hati yang melampau terhadap usaha penyatuan umat.

"Panas dendam tak kunjung reda," katanya.

Menjelaskan lanjut, anggota parlimen Bachok menggesa supaya "usaha emas perpaduan Umno-PAS" dihayati dan disuburkan.

"Yakini, melalui usaha emas perpaduan Umno-PAS ini, kita akan menyaksikan satu perubahan besar dalam kerangka pembinaan umat yang lebih baik dan berjaya.

"Hayatinya. Sayanginya. Pugarinya. Anda pasti beruntung di dunia dan akhirat," katanya.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa pada 7 Julai lalu berkata piagam bersama yang merasmikan kerjasama partinya dengan PAS akan ditandatangani pada Ogos ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang semalam menjelaskan menolak menyertai gabungan PH.

Apabila Abdul Hadi diminta menanggapi tawaran dibuat beberapa pemimpin PH supaya PAS menyertai gabungan parti pemerintah, beliau menjawab: "Tiada selera, cukup itu sahaja."

Sementara itu Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak, ketika ditanya mengenai isu tersebut berkata beliau percaya PAS sudah membuat pilihan.

"Saya percaya pas pun buat pilihan. Pilihan dia (PAS), Umno," katanya.

Najib yang mengaku pada April lalu bertanggungjawab menjalankan usaha "senyap-senyap" dengan Abdul Hadi untuk membawa kedua-dua parti bersama, menambah, Umno sudah membuat pilihan mengenai parti yang akan menjadi rakan mereka.

“Dari segi Umno, kita dah buat pilihan. Pilihan kita, PAS," katanya.


Tiada ulasan: