ISMA WEB
Jangan promosi minuman keras kepada umat Islam: Mufti Wilayah

BANGI– Umat Islam wajib menggunakan kuasa sebagai pengguna muslim untuk
menjauhkan diri daripada apa juga bentuk produk yang meragukan, apatah lagi
yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak.
Serentak
itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
mengingatkan pengusaha syarikat arak supaya tidak sesekali melakukan sebarang
usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan minuman arak, khususnya kepada
umat Islam.
Beliau
berkata, perbuatan sedemikian hanya akan menimbulkan kekeliruan, di samping
menyentuh sensitiviti umat Islam.
Beliau
memetik sabda Rasulullah riyawat al-Tirmizi yang bermaksud:
“Tinggallah
apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya
kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu
keraguan”.
Katanya,
sebarang produk yang dikeluarkan oleh syarikat arak, hendaklah dipamerkan
status non-halal, diletakkan di tempat khas dan terasing daripada produk-produk
halal.
“Kami
turut menyeru kepada semua pengusaha produk seperti minuman atau makanan yang
boleh menimbulkan sebarang keraguan, hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada
badan berautoriti seperti Bahagian Hab Halal, Jakim,” katanya mengulas produk baharu
arak tanpa alkohol oleh sebuah syarikat arak ternama yang dipertikaikan banyak
pihak.
Katanya,
apa yang menggemparkan ialah apabila minuman berkenaan dipromosikan dengan giat
oleh pihak berkaitan dengan menggunakan tagline mengelirukan iaitu ‘Now you
can’.
“Dengan
tagline tersebut dan diletakkan pula berhampiran dengan produk-produk halal
yang lain, ia menimbulkan kekeliruan kerana seolah-olah menggambarkan produk
tersebut berstatus halal.
“Namun
demikian, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan dan mempertikaikan cara
produk tersebut dipromosikan, pada 13 Julai 2019, syarikat berkenaan telah
mengeluarkan kenyataan media menjelaskan bahawa produk tersebut adalah
non-halal dan hanya dikhususkan buat bukan Islam,” katanya.
Justeru,
Dr Zulkifli berkata, beliau melihat isu itu perlu diberi perhatian yang serius
oleh pihak berwajib.
“Dalam
hal ini, umat Islam telah diperintah supaya berpegang dengan prinsip tidak
melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita
dilarang melakukannya.
“Akhir
sekali, kami menyeru kepada pihak kerajaan agar menyediakan satu polisi yang
jelas dan tegas dalam menangani isu sebegini.
“Dalam
Siyasah Syar’iyyah, adalah menjadi tugas dan kewajipan pihak berkuasa membuang
dan mencegah segala kemungkaran dan menghalang terjadinya sebab-sebab
kemungkaran itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan