HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Disember 2019

Anwar kata tak perlu hangatkan isu abu Chin Peng

Shawaliah Hadir
MGF02122019_Parlimen_19
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR – Isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), mendiang Chin Peng yang dibawa balik ke negara ini tanpa kebenaran tidak sepatutnya menjadi hangat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun memahami perasaan dan sensitiviti tentera dan polis yang sebelum ini berjuang berdasarkan sejarah, namun Presiden PKR itu berkata, negara kini telah mencapai perdamaian dengan PKM menerusi Perjanjian Damat Hatyai 1989.

Selain itu kata beliau, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuklah dirinya juga mempunyai hubungan baik dengan Parti Komunis China dan kerajaan negara tersebut.

“Yang itu sekarang ini telah disiasat oleh polis, saya ini ambil pendirian yang lebih lunak maknanya tahu sejarah, tahu masalah kekejaman, tahu perlawanan, tahu sensitiviti dan tahu perasaan tentera dan polis tetapi juga tahu bahawa kita dah capai perdamaian, (bekas Perdana Menteri Ke-2) Tun Abdul Razak Hussein telah mula berunding dengan Chou En Lai (Perdana Menteri China) dan Datuk Seri Najib ada hubungan baik dengan Parti Komunis China dan kerajaan China, Tun Mahathir Mohamad teruskan, saya pun jumpa Parti Komunis China.

“Jadi, saya tak fikir soal abu itu harus jadi terlalu hangat, sudahlah,” kata Pengerusi kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen itu hari ini.

Untuk rekod, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989 dan meninggal dunia pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua pada usia 90 tahun.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa abu mayat mendiang Chin Peng telah dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Baru-baru ini, Mahathir ketika diminta mengulas lanjut mempersoalkan niat pihak yang membangkitkan isu pembuangan abu mayat Chin Peng.

Tiada ulasan: