HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2019

'Bukan niat biar Dong Zong tunggu, apa nak buat tiada janji temu'

MALAYSIAKINI



Kementerian Pendidikan mendakwa diberikan makluman cuma sejam sebelum pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong hadir ke pejabatnya semalam bagi mengadakan pertemuan.

Pegawai kementerian yang tidak dinamakan dipetik The Star berkata ketika mendapat makluman tersebut kebanyakan pegawai atasan berada dalam mesyuarat pasca kabinet.

"Mereka beri tahu kami pada jam 2 petang bahawa mereka akan datang pada jam 3 petang, waktu yang sama pegawai atasan kami menghadiri mesyuarat pasca kabinet.

"Bukan niat kami membuatkan mereka menunggu, tapi tiada temu janji, apa yang kami boleh buat," kata pegawai itu.

Pegawai itu juga dilaporkan berkata tidak menghantar pegawai rendah untuk bertemu pemimpin Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong dan Jiao Zong).

Semalam dua pertubuhan itu merancang menyerahkan suatu memorandum menggesa lembaga pengurusan sekolah Cina dibenarkan untuk memutuskan pengajaran tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular.
Pertubuhan itu berkata telah membuat temu janji dengan setiausaha sulit Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan akan hadir ke kementerian itu pada jam 3 petang semalam. Pertubuhan itu juga berharap untuk bertemu menteri pendidikan.

Bagaimanapun, wakil kementerian tidak muncul-muncul sehingga jam 3.50 petang. Para pemimpin Dong Zong dan Jiao Zong kehilangan sabar dan mahu meninggalkan memorandum tersebut di kaunter pejabat kementerian memandangkan mereka merasakan kementerian itu tiada masa dan tidak menghormati tuntutan mereka.

Media diberitahu mengenai mesyuarat itu pada hari Khamis, tetapi tidak jelas bila waktu pertubuhan tersebut menghubungi kementerian untuk membuat janji temu.

Pada bulan Ogos, kerajaan dikritik susulan pengumuman pengenalan pembelajaran tulisan khat (kaligrafi Jawi) untuk murid darjah empat di sekolah vernakular tahun depan.

Kemudian, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan pelajaran tulisan Jawi dari enam muka surat ke tiga muka surat dan mengumumkan pengajaran itu hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Walau bagaimanapun, kumpulan pendidikan itu tidak puas hati bahawa lembaga pengurusan sekolah tidak disenaraikan sebagai pembuat keputusan dalam pelaksanaan pengajaran pelajaran Jawi. Di Sabah dan Sarawak, sesetengah sekolah tidak mempunyai PIBG.

Pertubuhan ini turut menyuarakan pandangan mereka kepada Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching, pada satu majlis dialog yang diadakan pada bulan Ogos lalu.


Tiada ulasan: