Peguam Haniff Khatri Abdulla telah menafikan perbincangan
konspirasi yang menempatkannya sebagai kaitan antara anak guamnya Yusoff
Rawther dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang diwakili beliau.
"Saya adalah seorang pengamal undang-undang swasta. Ya, saya ada mewakili Dr Mahathir sebelum ini, dan ada beberapa perkara yang saya masih kendalikan dalam beberapa fail peribadi beliau," katanya dalam suatu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata pada keadaan tersebut tidak timbul soal konflik kepentingan dalam kes Yusoff.
Haniff mendakwa pihak yang mengaitkan teori konspirasi antara perdana menteri dan anak guamnya cuma membuang masa.
"Pada saya, kebolehan segolongan masyarakat kita untuk mencipta teori-teori konspirasi yang luar biasa, kadang-kadang boleh menjatuhkan kebolehan Hollywood, Bollywood dan Kollywood ke tangga kedua, ketiga dan keempat dalam kedudukan masing-masing.
"Mungkin ada baiknya, golongan itu menggunapakai ciptaan teori masing-masing untuk pembikinan cerita wayang untuk memperolehi pulangan lumayan," katanya lagi.
Semalam, Yusoff dan Haniff di Bukit Aman selama lapan jam kerana anak guamnya direkod pernyataannya oleh pihak polis.
"Pada tahap ini, polis meneliti setiap peruntukan (undang-undang). Mereka bermula dengan Seksyen 354. Biar polis menjalankan siasatan yang adil dan berikan kesimpulan yang adil.
"Apa yang dia (Yusoff) mahukan ialah keadilan melalui undang-undang," katanya lagi.
Ditanya berkenaan masa SD Yusoff didedahkan, iaitu sehari sebelum bermulanya kongres nasional PKR, atau sama ada ia bermotifkan politik seperti didakwa beberapa pihak, Haniff enggan memberi ulasan.
Yusoff yang merupakan bekas pekerja Anwar membuat dakwaan tersebut menerusi satu akuan bersumpah (SD) bertarikh 19 November, yang didedahkan pada 4 Disember lalu.
Dalam perakuan bersumpah itu, Yusoff mendakwa insiden itu berlaku di rumah Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018.
Dia mendakwa insiden itu berlaku pada hari keempat kempen PRK Port Dickson yang ditandingi Anwar.
Sehari kemudian, iaitu pada 5 Disember, Anwar dalam kenyataan menafikan dakwaan itu, dengan berkata dia sibuk berkempen pada hari kejadian itu didakwa berlaku.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut.
"Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan