Persiapan akhir bagi pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat kini giat dijalankan dan bakal dilancarkan pada Jan depan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menurut Lim program rangsangan digital berjumlah RM450 juta itu diumumkan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2020 untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.
Katanya kementerian melantik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang melibatkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Kerja-kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah merupakan usaha komprehensif untuk memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan dan menerapkan ciri-ciri keselamatan untuk pengguna.
Beliau berkata Khazanah juga bertanggungjawab ke atas pemilihan pengendali perkhidmatan e-dompet yang secara kolektif menyediakan platform sedia ada yang mempunyai jumlah pengguna aktif yang besar serta rangkaian pedagang yang luas untuk inisiatif e-Tunai Rakyat.
"Khazanah akan mengumumkan pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan bagi membolehkan inisiatif ini dilancarkan dalam tempoh yang ditetapkan, serta dapat memastikan keberkesanan dan kejayaan pelaksanaannya pada Januari 2020," katanya.

"Selain itu, pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih juga merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif ini dilaksanakan," katanya.
Maklumat lanjut tentang cara memohon serta terma dan syarat penggunaannya akan dimaklumkan oleh Khazanah dan pengendali perkhidmatan e-dompet terpilih dalam masa terdekat.
Lim berkata program e-Tunai Rakyat sejajar dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan mengurangkan halangan akses kepada teknologi digital dan menjadikan proses digitalisasi untuk semua.
"Kami yakin inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan memberi manfaat yang besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta akan dapat membantu mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat dan ekonomi digital yang maju," katanya.
Lim berkata dijangka RM30 yang diberikan kepada setiap orang mungkin ditambah nilainya berpandukan kepada syarat-syarat dan tawaran oleh pengendali perkhidmatan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan