HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2019

MCA: Kemenangan di Tg Piai bukti rakyat terima Muafakat Nasional

MALAYSIAKINI




Pilihan raya kecil Tanjung Piai membuktikan bahawa gabungan Muafakat Nasional antara Umno dan PAS diterima oleh rakyat, kata presiden MCA, Wee Ka Siong.

“Kemenangan kita di Tanjung Piai juga membuktikan bahawa Muafakat Nasional yang dibina atas semangat solidariti pembangkang dengan tidak meminggirkan mana-mana kaum benar-benar diterima oleh rakyat yang cintakan perpaduan serta kestabilan politik,” katanya.

Wee berkata demikian ketika berucap di perasmian mesyuarat agung tahunan MCA di Kuala Lumpur hari ini.

BN memenangi pilihan raya kecil itu bulan lepas dengan majoriti 15,086 undi.

Meskipun PAS tidak hadir pada AGM tersebut hari ini, Wee mengucapkan terima kasih kepada mereka atas bantuan parti Islam itu dalam membantu berkempen untuk MCA dalam PRK itu.

“Dalam konteks yang lebih besar dan ke hadapan, MCA juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah dan Sarawak, atas semangat solidariti pembangkang, selagi ia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan, kepelbagaian dan kesederhanaan.

“Dalam masa sama, kita juga akan menonjolkan kepimpinan Barisan Nasional yang progresif serta pragmatik sekaligus dapat menawan hati segenap lapisan masyarakat dan ia merupakan keutamaan yang telah kita pupuk selama ini.

“Kita harus meningkatkan kekuatan dalam semangat Muafakat Nasional, kebersamaan dan kesederhanaan ini demi kepentingan rakyat sekaligus dapat menjadi parti alternatif terbaik bagi menggantikan Pakatan Harapan yang terbukti gagal membela rakyat serta mentadbir negara,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata bahawa piagam Muafakat Nasional jelas dalam menyatakan bahawa Umno mewakili BN, dan oleh itu MCA adalah sebahagian daripada Muafakat Nasional.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata MCA belum menjadi anggota Muafakat Nasional.

Wee sebelum ini berkata soalan wartawan yang bertanya sama ada MCA menyokong Muafakat Nasional adalah tidak logik kerana parti itu mendukung solidariti pembangkang.

"Adakah anda ahli Muafakat Johor? Tidak, anda tanya soalan, tolonglah (tanya soalan) logik.

"Kita mendukung solidariti pembangkang, adakah pendaftaran atas nama solidariti pembangkang? Ia adalah semangat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon, hari ini berkata, "kehidupan tidak dapat diramalkan” apabila ditanya sama ada parti itu akan menyertai Muafakat Nasional.


Tiada ulasan: