Abdul Muein Abadi
Menteri perlu berhenti jadi 'pelawak', usah buat dasar lahirkan 'joker'
1.
HINGGA ke hari ini, ramai yang masih memperkatakan mengenai
filem Joker.
2.
Biar pun sudah lebih sebulan filem terbitan Warner Bros. itu ditayangkan di
seluruh dunia, para peminat dan penonton masih tidak dapat mengelak daripada
menyelitkan sebahagian daripada pengajaran filem itu apabila membicarakan
realiti persekitaran mereka.
3.
Sama ada dari segi pengajaran tentang isu kesihatan mental, penderaan,
institusi keluarga – hinggalah ke petikan dialog ‘orang jahat ialah orang baik
yang tersakiti’ – semuanya masih belum reda.
4.
Entah bagaimana, filem itu turut mencuri perhatian dalam ruang awam politik
negara. Mungkin kerana latar utama filem itu yang menyentuh secara langsung
tentang perbezaan kelas ekonomi antara golongan atasan dengan bawahan, golongan
berada dengan golongan kurang berharta, golongan berpengaruh dengan golongan
terpinggir, dan golongan elit berkuasa dengan golongan massa yang putus
harapan.
5.
Hakikatnya, memang ada pengajaran yang boleh diambil oleh para pemimpin dan
Menteri kita – jika mereka berkelapangan untuk menonton – daripada filem Joker
lakonan Joaquin Phoenix ini.
6.
Paling utama mestilah mesej ekonomi politik dan juga komunikasi politik. Memang
benar, ada dasar-dasar baharu yang bagus cuba diperkenalkan kerajaan hari ini,
seperti sarapan percuma untuk semua murid sekolah oleh Menteri Pendidikan YB
Dr. Maszlee Malik – namun banyak juga dasar-dasar yang boleh dipersoalkan yang
cuba diperkenalkan; malah cara dasar-dasar berkenaan disampaikan kepada rakyat
juga turut bermasalah.
7.
Antaranya ialah pengenalan semula Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST)
menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Bagaimana langkah ini mampu
mendekatkan struktur ekonomi politik kita kepada struktur ekonomi politik
Gotham City yang ‘melahirkan’ Joker secara tidak langsung?
8.
Pada satu sisi, langkah ini mengakibatkan kebergantungan negara kepada hasil
minyak menjadi meningkat. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu perkenalkan GST
– meski pun pada kadar yang mungkin boleh diperdebatkan – tetapi berhasil untuk
menstabilkan pendapatan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada turun
naik harga minyak dunia atau keputusan OPEC dan Bank Pusat Amerika.
9.
Malah, apabila kerajaan hari ini memperkenalkan SST, harga barang bukan sahaja
tetap naik, sebaliknya hasil kerajaan hilang berbilion-bilion ringgit akibat
ketirisan pendapatan kerajaan oleh para peniaga yang lari dari membayar cukai.
10.
Dalam masa yang sama, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak meningkat
lalu apabila harga minyak dunia turun, hasil kerajaan berkurangan dan banyak
bantuan rakyat yang terpaksa dikurangkan.
11.
Kerajaan perlu berhati-hati, nasib Gotham City tidak harus terjadi di negara
kita di mana para peniaga yang kaya-raya mendapat manfaat, dengan sistem percukaian
yang tidak progresif manakala golongan pertengahan terhimpit dengan pengurangan
bantuan dan insentif.
12.
Dari segi komunikasi politik pula, tindakan sesetengah pemimpin yang berterusan
menyindir rakyat sebagai ‘malas berusaha’, di samping cadangan-cadangan yang
menghina kebijaksanaan rakyat wajib dihentikan segera.
13.
Kita tidak ingin nasib yang menimpa Thomas Wayne sekeluarga menimpa pemimpin
kita. Kita juga tidak ingin nasib yang menimpa Murray Franklin lakonan Robert
De Niro dalam filem Joker itu menimpa mana-mana pemimpin negara kita.
14.
Kedua-dua watak Thomas Wayne dan Murray Franklin – seorang berharta dan
berkuasa, manakala seorang lagi berpengaruh dan popular – bertindak
memperkecilkan kesusahan yang dihadapi golongan bawahan di Gothan City.
15.
Saat ini, seperti mana jangkaan bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi Isham
Jalil, kerajaan kini ada tiga pilihan untuk menangani masalah kewangan negara:
Pertama,
memotong bantuan dan perbelanjaan kepada rakyat;
Kedua,
meminjam dan menambah hutang negara untuk terus berbelanja;
Dan
ketiga, menjual aset negara yang ada untuk menampung perbelanjaan.
16.
Ketiga-tiga pilihan di atas adalah pilihan tidak baik yang bakal ‘melahirkan’
Joker. Pilihan yang baik ialah menghapuskan SST dan mengembalikan GST, seperti
mana cadangan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri
Dr Kamal Salih dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu
(MTEM), Ahmad Yazid Othman.
17.
Hayatilah mesej ekonomi politik filem ini. Para Menteri bukan sahaja perlu
berhenti daripada menjadi Joker, tetapi juga berhenti daripada membuat dasar
yang boleh melahirkan Joker.
Ingatlah,
‘rakyat jahat ialah rakyat baik yang tersakiti’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan