HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Disember 2019

MKN Sabah hantar pulang hampir 4,000 PATI

BERNAMA




Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan akan menghantar sejumlah 3,909 pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia sepanjang bulan ini.

Timbalan Pengarah Keselamatan MKN Sabah, Muhammad Hafiz Abdul Rahman berkata jumlah itu terdiri daripada 3,800 pendatang dari Filipina yang akan dihantar pulang melalui Sandakan ke Zamboanga, Filipina dan 109 pendatang Indonesia yang akan dihantar pulang melalui Tawau ke Nunukan, Indonesia.

"Jumlah pendatang yang akan dihantar pulang bulan ini adalah antara 11,340 orang yang dihantar pulang dari Sabah ke negara asal sepanjang tahun ini.

“Dengan jumlah itu, MKN Sabah telah menghantar pulang 589,364 pendatang dari Filipina dan Indonesia sejak 1990,” katanya kepada pemberita pada proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin Filipina di Pelabuhan Sandakan di Sandakan, malam tadi.

Menurut Muhammad Hafiz, 918 orang termasuk kanak-kanak dihantar pulang dengan sebuah kapal penumpang yang didatangkan dari Filipina untuk membawa mereka kembali ke negara asal.

Katanya, warga Filipina yang dihantar pulang malam tadi terdiri daripada mereka yang telah ditempatkan di Pusat Tahan Sementara (PTS) Sibuga di Sandakan dan PTS Kota Kinabalu.

Beliau berkata, MKN Sabah bersama jabatan dan agensi kerajaan lain akan sentiasa menjejak dan menahan pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu serta menghantar mereka pulang ke negara asal dalam proses penghantaran pulang yang diadakan secara mingguan.- Bernama


Tiada ulasan: