PAKATAN Harapan masih meneruskan sikap yang sama, dan dilihat tidak mengambil pengajaran daripada kekalahan di Tanjung Piai.
Masih banyak janji yang belum ditunaikan, malah dengan bersahaja disahkan bahawa beberapa janji Pakatan Harapan tidak akan dapat ditunaikan, atas alasan bukan keutamaan ataupun di luar keupayaan.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan menjawab di Parlimen, “Siaran percuma EPL bukan keutamaan kami”.
Jawapan ini diberikan ketika memberi penjelasan mengenai janji Pakatan Harapan untuk menyiarkan siaran langsung Liga Lerdana Inggeris (EPL) secara percuma di saluran RTM.
Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan lebih mengutamakan pemerkasaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berbanding siaran percuma EPL. Ini adalah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian.
Kenyataan ini jelas membuktikan Pakatan Harapan hanya mudah menabur janji, namun akan memberikan 1001 alasan apabila gagal menunaikannya.
Kos sara hidup
Terbaharu, Timbalan Menteri KPDNHEP berkata di Parlimen, “Kerajaan akan mengapungkan harga petrol secara berperingkat sebanyak 1 sen seminggu sebaik sahaja Program Subsidi Petrol dilaksanakan”.
Ini bermakna, harga petrol RON95 akan naik 1 sen setiap minggu bermula Januari tahun depan, sehingga mencapai harga pasaran tanpa bantuan subsidi daripada pihak kerajaan.
Jelas beliau, “Keputusan mengapungkan harga minyak adalah untuk meringankan kos sara hidup rakyat, selain mengelak harga barangan naik secara mendadak”.
Persoalannya, bagaimana kos sara hidup boleh diringankan apabila harga minyak dinaikkan?
Secara umumnya, kenaikan harga minyak boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan kos dalam setiap rantaian perkhidmatan, disifatkan sebagai inflasi tolakan-kos (cost-push inflation) yang lebih sukar untuk dikawal.
Kenyataan ini pastinya mengecewakan pengundi yang termakan janji Pakatan Harapan untuk menurunkan kos sara hidup apabila berkuasa di Putrajaya.
Justeru tiada bezanya dihapuskan GST untuk meringankan kos sara hidup rakyat, apabila rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga minyak dan harga barangan, serta pelbagai cukai baharu yang diperkenalkan.
Pengajaran Tanjung Piai
Kekalahan Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai, dengan majoriti besar 15,000 undi memberi isyarat yang jelas penolakan rakyat terhadap kegagalan Pakatan Harapan menjadi kerajaan dalam tempoh 18 bulan ini.
Namun Pakatan Harapan terus menunjukkan sikap yang sama, mungkir janji dan bergaduhan sesama sendiri, dalam keadaan rakyat terus berdepan dengan bebanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad dan kelembapan aktiviti ekonomi.
Apakah pula nasib yang bakal menimpa segala projek berjuta ringgit yang diumumkan di Tanjung Piai, Cameron Highlands, Rantau dan Semenyih, mungkin janji hanya akan tinggal janji.
- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan