HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2019

Pemusatan kuasa pada PM perlu dikekang, kata Ragunath

MALAYSIAKINI




Bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata kerajaan perlu menarik semula pemusatan kuasa perdana menteri terutama dalam membabitkan pelantikan pegawai penguat kuasa utama, seperti yang dijanjikan dalam salah satu manifesto PH.

Ragunath berkata seseorang yang menyandang jawatan seperti peguam negara, ketua polis negara (KPN) dan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberikan kesetiaaan kepada jawatan, bukannya terhadap perdana menteri atau kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan bekas hakim Mahkamah Rayuan, KC Vohrah, semalam yang menggesa kerajaan tidak menangguhkan langkah memisahkan kuasa antara Jabatan Peguam Negara dengan Pejabat Pendakwa Raya bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara.

“Bagaimanapun pegawai terbabit memberikan kesetiaan kepada perdana menteri kerana hanya beliau boleh menentukan siapakah yang akan mengetuai agensi penguatkuasaan utama ini,” katanya lapor FMT.

Ragunath memberi contoh kesan yang dapat dilihat terhadap salah laku sewaktu pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak yang melibatkan wang sebanyak RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadinya.

Katanya, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu diperhalusi dengan lebih mendalam kerana dikatakan masih terdapat campur tangan oleh perdana menteri dalam pelantikan hakim dan pentadbir kehakiman.

“JAC membenarkan perdana menteri mendapatkan calon tambahan untuk dikemukakan kepada Majlis Raja-raja sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan cadangan asal yang dibuat,” katanya.

Bagaimanapun Ragunath mengakui, langkah memisahkan kuasa tersebut hanya boleh dilakukan dengan meminda perlembagaan negara.


Tiada ulasan: