
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut Tan Sri Rais Yatim mengemukakan bukti tuduhannya konon penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik ada mengeluarkan kenyataan ‘berdosa umat Islam mengucapkan Selamat Hari Krismas’.
Naib Presidennya, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah menegaskan, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu harus cermat dalam membuat tuduhan kerana boleh mengundang kemarahan rakyat kepada Zakir.
“Sangatlah tidak cerdik Rais ini. Bila masa pula Dr. Zakir Naik mengharamkan ucapan Selamat Hari Natal? Apatah lagi penceramah itu telah lama menafikannya.
“Nampak sangat Rais salah faham dan mahukan publisiti murahan dengan melontarkan tuduhan kepada Dr. Zakir Naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Rais dilaporkan mengkritik Zakir yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu dengan mengharapkan semua mufti di negara ini lebih baik kutip faedah pencen dan bersara.
Kata beliau, selepas ini Zakir mungkin akan perkatakan perkara yang sama mengenai Gong Xi Fa Cai dan Diwali.
“Saya masih berpendirian dia harus dihantar kembali ke India. Bolehkah seseorang memeriksa KDN (Kementerian Dalam Negeri) bagaimana dia mendapat PR dan siapa yang memberikannya kepadanya?,” kata Rais menerusi Twitternya yang dipetik sebuah portal berita.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Amini menyifatkan Rais sebagai tidak beradab dan bertata susila.
Kata beliau, bagi mereka yang mengikuti secara rapat pendekatan dakwah Zakir tidak setuju dengan tuduhan Rais yang lebih bersifat prejudis, penuh prasangka dan tanpa penyiasatan serta kajian teliti.
“Ini kerana Dr. Zakir Naik dikenali sebagai pendakwah paling cemerlang abad ini dalam menyebarkan dakwah dan mesej Islam serta mengislamkan ramai bukan Islam berbanding mana-mana pendakwah.
“Jika pendekatan dakwahnya mencaci agama lain, mana mungkin beliau berjaya mengislamkan begitu ramai orang bukan Islam dan menarik perhatian serta kefahaman umat Islam mengenai ajaran sebenar dan tulen.
“Ini menunjukkan Rais tidak peka dan prihatin dengan sensitiviti umat Islam. Kenapa beliau tidak berdialog dengan Dr. Zakir Naik sendiri atau memanggilnya berbincang sebelum membuat tuduhan melulu,” soal beliau.
Beliau menggesa Rais lebih berhati-hati membuat tuduhan terhadap agar tidak memberikan implikasi kepada dirinya sendiri.
“Janganlah hanya membaca ciapan Twitter palsu yang dicipta orang tidak bertanggungjawab tanpa ada sebarang usul periksa dan kajian yang tuntas, terus menjatuhkan hukuman,” kata beliau. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan