HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Disember 2019

Sejarah bakal tercipta, 3 hakim wanita naik pangkat ke Mahkamah Persekutuan

Zaleha Yusuf, Zabariah Mohd Yusof and Hasnah Mohammed Hashim 
akan dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan, hari ini. (Gambar 
kehakiman.gov.my)


PETALING JAYA: Sejarah bakal tercipta apabila 4 hakim wanita akan mengangkat sumpah jawatan mereka di Istana Kehakiman petang ini, kata sumber.

Hakim Mahkamah Persekutuan Rohana Yusuf akan dinaikkan pangkat sebagai presiden Mahkamah Rayuan susulan persaraan Ahmad Maarop pada 24 Nov.

Beliau adalah wanita pertama yang memegang jawatan itu sejak penubuhan Mahkamah Rayuan pada 1994.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat juga melantik Rohana, 63, sebagai pemangku presiden Mahkamah Rayuan sejak 25 Nov.

Tengku Maimun sendiri mencipta sejarah pada Mei apabila beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai hakim tertinggi negara.

Sumber juga memberitahu FMT, 3 wanita dari Mahkamah Rayuan – Zaleha Yusuf, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim – akan dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan.

“Buat pertama kalinya, mahkamah tertinggi akan mempunyai 6 hakim wanita,” kata sumber itu.

Selain Tengku Maimun dan Rohana, hakim wanita lain ialah Nallini Pathmanathan.

Zaleha dan suaminya Ramly Ali juga pasangan pertama yang memegang jawatan sebagai pesuruhjaya kehakiman sebelum dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan. Ramly bersara pada Ogos.

Hakim Mahkamah Tinggi Hadhariah Syed Ismail, M Nantha Balan dan Abu Bakar Jais akan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Azmi Abdullah juga akan disahkan sebagai hakim.

Semua hakim akan menerima surat cara pelantikan jawatan mereka dari Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini sebelum mereka mengangkat sumpah kehakiman mereka.

Rohana akan mengangkat sumpahnya di hadapan hakim Mahkamah Rayuan. Zaleha, Zabariah dan Hasnah akan berbuat demikian di hadapan Tengku Maimun.

Tun Abdul Majid dan Azmi akan mengambil sumpah di hadapan Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed.

Tiada ulasan: