Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia
menempatkan pegawai di semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri
bagi membantu memperkasakan integriti serta memastikan perkara berkaitan
rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung di peringkat kerajaan
negeri, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Shamshun Baharin
Mohd Jamil.
"Sebelum ini ada beberapa negeri memohon secara rasmi termasuk Johor dan Perak, cuma dari segi proses itu perlu melibatkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (Hara) 2019 di pasar awam Presint 8, di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Zakaria Jaafar.
Mengenai Hara 2019, Shamshun berkata majlis yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini bertujuan melibatkan semua pihak dalam usaha mencegah kegiatan rasuah serta mewujudkan satu budaya di kalangan masyarakat untuk menyatakan tidak dalam apa jua keadaan berhubung pemberian dan penerimaan rasuah.
Beliau berkata tahun ini golongan peniaga kecil dan penjaja menjadi fokus, supaya mereka bersedia dengan pelaksanaan undang-undang liabiliti korporat yang akan mula berkuatkuasa Jun 2020.
Shamshun berkata SPRM akan menggunakan segala platform untuk menyebarkan mesej pencegahan rasuah supaya harapan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah, dapat dicapai.
"Di SPRM, fokus kita masih pada penjawat awam kerana bilangan yang ditangkap pada tahun-tahun lepas majoritinya adalah di kalangan penjawat awam. Di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, antara langkah diambil kerajaan adalah memperkasakan dan mempertingkatkan integriti di kalangan penjawat awam," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan