HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2019

Tribunal khas tangani kes gangguan seksual akan ditubuh

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 
acara Khatan Perdana Parlimen Pandan hari ini. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Satu tribunal khas untuk mendengar dan menangani kes-kes gangguan seksual akan diwujudkan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah antara perancangan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam melakukan penambahbaikan terhadap sistem keadilan sedia ada bagi menangani isu berkenaan.

“Ia akan termasuk dalam Akta Gangguan Seksual yang kini masih dalam peringkat perbincangan kementerian bersama agensi, NGO dan AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Khatan Perdana Parlimen Pandan di sini, hari ini.

Wan Azizah yang juga menteri KPKWM berkata, rang undang-undang (RUU) yang sepatutnya dibentang di Parlimen tahun ini dijangka dibentangkan tahun depan.

Ini kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu diputuskan dan dipersetujui bersama seperti remedi, beban pembuktian dan sebagainya.

Beliau berkata, semua perkara itu penting bagi memastikan kekangan perundangan sedia ada dapat diselesaikan dan RUU ini benar-benar dapat menangani isu tersebut, selain mampu memberi perlindungan kepada mangsa gangguan seksual.

“Mekanisme pengaduan juga perlu dipermudahkan agar lebih ramai mangsa tampil ke hadapan, manakala elemen remedi dan penalti turut diberi perhatian.

“RUU ini masih merupakan keutamaan kementerian dan akan dibentang secepat mungkin, pastinya tahun hadapan,” katanya.

Tiada ulasan: