HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Januari 2020

Bunyi dentuman, kemudian tidak sedarkan diri

Manzaidi Mohd Amin
MG140120_WARIS-DAN-MANGSA-KEMALANGAN-KREN05
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (dua kiri) diiringi Duta Besar Di Raja Arab Saudi di Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan (kanan) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa, Mat Deris Mohd Noor (dua kanan) pada Majlis Jamuan Tengah Hari bersama waris dan mangsa yang terlibat pada kemalangan kren di Makkah di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 
 

PUTRAJAYA – Mangsa yang cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram tahun 2015 berhasrat hendak membahagikan wang sumbangan kepada anak-anak supaya dapat mengerjakan ibadah umrah.

Mat Deris Mohd Noor, 66, berkata, beliau yang mempunyai lapan anak mahu membahagikan tiap seorang sebanyak RM10,000 sebagai perbelanjaan ke tanah suci Mekah.

Katanya, sebahagian lagi sumbangan yang ada akan digunakan untuk dirinya membuat rawatan kecederaan yang dihadapinya iaitu patah tulang paha dan luka di kepala.

“Walaupun sudah lebih empat tahun kejadian itu berlaku, kesihatan saya belum sembuh sepenuhnya dan rasa sakit di bahagian paha makin serius bila tiba musim tengkujuh ini.

“Doktor pasang besi dari lutut hingga ke punggung. Besi ini yang beri kesan sakit sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan tengah hari waris dan mangsa kemalangan kren di Mekah bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Mat Deris antara tiga mangsa dari Malaysia yang cedera parah dalam kejadian itu, manakala tujuh meninggal dunia.
MG140120_WARIS-DAN-MANGSA-KEMALANGAN-KREN09
Mangsa, Mat Deris Mohd Noor bercakap pada Majlis Jamuan 
Tengah Hari bersama waris dan mangsa yang terlibat pada 
kemalangan kren di Makkah di Kompleks Islam Putrajaya. 
foto SYAFIQ AMBAK,
 
Pada September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram, tumbang.

Menurut guru kontrak itu, ketika kejadian beliau sedang berehat selepas selesai menunaikan solat Asar dan tidak menjangka sama sekali berlaku kemalangan itu.

“Masa kejadian, saya sedang berehat di tingkat dua lepas (solat) Asar. TIba-tiba bunyi benda jatuh dan saya tidak sedarkan diri.

“Ketika sedar keesokan hari, saya diberitahu berada di hospital. Saya ingat cedera di kepala saja, rupanya paha juga turut cedera (patah).

“Saya dirawat di hospital Makkah selama lima hari, sebelum disambung rawatan di hospital Tabung Haji di sana. Saya teruskan berada di Mekah sehingga habis ibadah haji, tetapi ibadah haji saya terpaksa upah,” katanya yang menerima sumbangan sebanyak SR500,000 dari Arab Saudi.

Beliau yang bekerja sebagai guru kontrak tinggal di Kampung Cabang Tiga Melawi, Bachok, Kelantan menunaikan haji bersama isterinya, Faridah Yaakob, 50-an.

Ujarnya, isterinya hanya mengalami cedera bengkak di kepala dan bahagian belakang dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital TH di Mekah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada TH kerana memberi layanan yang baik kepadanya dan isteri sepanjang menerima rawatan di sana.

Sementara itu, anak kepada mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu, turut menginginkan menunaik umrah dengan wang sumbangan berkenaan.

Menurut Che Will Che Muda, 46, ibunya, Allahyarham Munah Jusoh berusia 70-an ketika meninggal dunia memberitahu, pada mulanya mereka adik beradik tidak menduga perkara yang serius menimpa emak dan ayahnya.
MG140120_WARIS-DAN-MANGSA-KEMALANGAN-KREN06-1
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid 
Yusof (dua kiri) diiringi Duta Besar Di Raja Arab Saudi di Malaysia, 
Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan (kanan) dan Timbalan 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (kiri) 
menyampaikan sumbangan kepada waris, Cik Will Che Muda 
(dua kanan) pada Majlis Jamuan Tengah Hari bersama waris 
dan mangsa yang terlibat pada kemalangan kren di Makkah 
di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
“Mula-mulanya kami ingat tidak ada apa-apa yang serius, sebab pegawai TH hanya beritahu berlaku ribut sahaja di sana.

“Keesokan hari, pegawai TH sekali lagi menghubungi saya, memaklumkan emak meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang.

“Ayah selamat dalam kejadian itu dan dapat meneruskan ibadah haji dengan sempurna,” katanya.

Jelas Che Will, ayah dan arwah ibunya bertolak ke tanah suci pada hari Rabu dan dua hari selepas itu, pada Jumaat dia sekeluarga menerima berita menyedihkan.

Ditanya apa perancangannya dengan wang sumbangan SR1 juta dari kerajaan Arab Saudi itu, katanya, beliau bersama enam lagi adik beradik akan mengerjakan umrah.

“Kami lapan beradik, kakak sulung sudah meninggal dunia, jadi tinggal tujuh orang dan kami merancang hendak mengerjakan umrah.

Mengenai wang itu, ujarnya, beliau belum terima lagi, tetapi pihak Amanah Raya mahu dia dan adik beradik menyelesaikan pembahagian tanah pusaka terlebih dahulu.

“Sekarang proses itu terlekat (tertangguh) di pejabat tanah (Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh).

Kalau selesai pembahagian tanah ini, barulah pihak Amanah Raya membenarkan kami mengeluarkan wang berkenaan,” katanya yang bekerja sebagai petani. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: