HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Januari 2020

Hanipa: Tak didakwa di mahkamah bukan dalil ketiadaan ekstremisme

MALAYSIAKINI




Tidak pernah didakwa atau disabitkan kes atas "kesalahan ekstrem" di mahkamah bukan dalil ketiadaan unsur ekstremisme dalam sesebuah parti, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin.

Malah, kata Hanipa yang juga merupakan peguam, meskipun beberapa kesalahan boleh dikelaskan sebagai ekstrem dari sudut tertentu, beliau tidak pernah lagi mendengar istilah 'kesalahan ekstrem' dalam undang-undang.

"Secara umum, sebarang kesalahan jenayah, boleh didefinisikan sebagai tindakan ekstrem kerana jenayah itu ada elemen pencerobohan hak dan kepentingan orang lain. Jika nak bahas dari sudut semantik lah.

"[...] Jadi, bagi saya, adalah salah mengaitkan ketiadaan pendakwaan dan sabitan kes di mahkamah 'per se' sebagai dalil ketiadaan ekstremisme," katanya.

Hanipa berkata demikian sebagai respons kenyatan Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang membidas tuduhan segelintir pihak yang melabelkan partinya terbabit dengan perbuatan ekstrem.

Dr Ahmad Samsuri turut menjelaskan bahawa partinya sah dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan ekstrem.

Ketika berkempen baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal membangkitkan kerjasama antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional.

Ketika berucap, Mohd Shafie menyifatkan PAS sebagai sebuah "parti Islam yang ekstrem" kini bekerjasama dengan Umno.

Presiden Upko Wilfred Madius Tangau juga membuat dakwaan sama terhadap PAS semasa menghadiri majlis perayaan Krismas di pekan Membakut pada 4 Jan lalu.


Sementara itu, Hanipa yang juga merupakan anggota parlimen Sepang menyifatkan bahawa perilaku ekstrem adalah suatu perkara subjektif jika dihubungkan dengan kes mahkamah.


“Kesalahan rasuah mungkin dianggap ekstrem bagi setengah orang dan tidak bagi orang lain,” katanya.


Tiada ulasan: