HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Januari 2020

Kabinet akan putuskan kenderaan rasmi kerajaan, kata Guan Eng

DENYUT REFORMASI

 
 
MESYUARAT Jemaah Menteri akan datang akan menentukan kelulusan kontrak untuk kenderaan rasmi kerajaan melibatkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord untuk kegunaan menteri dan pegawai tinggi kerajaan, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan berkata walaupun pemberian kontrak itu di bawah bidang kuasa kementeriannya tetapi ia perlu diputuskan oleh Kabinet.

“Tunggu Kabinet. Ya, (di bawah Kementerian Kewangan) tetapi kita berpandu pada mesyuarat Kabinet,” katanya kepada wartawan selepas melawat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang, pagi tadi.

Ditanya bila Jemaah Menteri akan bermesyuarat, Lim hanya menjawab, “pada mesyuarat akan datang.”

Kontrak baru itu ditentukan selepas kontrak kenderaan untuk kerajaan di bawah Spanco Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Robert Tan Hua Choon, berakhir pada hujung 2019.

Spanco mengendalikan kenderaan untuk kerajaan selama 25 tahun sejak 1994.

Media sebelum ini melaporkan tujuh syarikat bersaing untuk mendapatkan kontrak itu. Selain Spanco yang turut membida, syarikat lain ialah Kumpulan Naza, Kumpulan Berjaya, Sime Darby Bhd dan DRB-Hicom Bhd, Kumpulan Samling, Comos, dan Go Auto.

Menteri dan pegawai kanan kerajaan pada masa ini menggunakan Proton Perdana dan Toyota Camry.

Kontrak baru itu juga dilaporkan akan menggantikan 1,300 unit kenderaan penguatkuasaan dalam tempoh lima tahun akan datang serta 8,000 unit Proton Pesona dan Saga untuk kegunaan jabatan.

Kontrak baharu itu akan berjalan selama 15 tahun membabitkan 12,500 unit kenderaan dengan jumlah RM300 juta setahun, bermula selepas lima tahun.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet telah berbincang kaedah terbaik yang dapat memberikan penjimatan kepada kerajaan.

Jelasnya, kontrak kenderaan rasmi kerajaan akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan selepas mendapat kelulusan Kabinet. 
 
 

Tiada ulasan: