HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Januari 2020

MB, exco Kelantan terima 'pemberian khas' RM50,000 seorang

N FAIZAL GHAZALI



Selain pembelian 14 buah Mercedes Benz sebagai kereta rasmi, barisan exco kerajaan Kelantan juga dikatakan menikmati ‘bonus’ berjumlah RM50,000 setiap seorang.

Sumber berkata, pemberian sejumlah dana itu itu diterima minggu kedua bulan ini, bersekali dengan bonus tambahan yang diterima kakitangan kerajaan negeri.

“Adalah tidak wajar kakitangan negeri mendapat bonus RM1,000 sahaja sedangkan pimpinan negeri membabitkan belasan individu menerima sehingga RM50,000.

"Malah pemberian RM50,000 kepada pimpinan tertingi negeri itu tidak diumumkan sebagaimana pengumuman bonus tambahan, namun orang dalam semua tahu dan agak kecewa.

"Mereka (kerajaan negeri) menguar-uarkan konsep berjimat dalam pentadbiran negeri, sedangkan mereka sendiri menerima bonus RM50,000 seorang," katanya yang enggan namanya disiarkan media ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Menurut sumber terbabit, dana tersebut diterima pimpinan negeri termasuk menteri besar dan timbalannya serta barisan exco.




Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah ketika ditemui mengesahkan pimpinan kerajaan negeri menerima dana RM50,000 berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, wang tersebut bukan bonus sebalik sebagai pemberian khas.

"Ini bukan bonus kerana kita tidak layak menerima bonus sebagaimana kakitangan awam. Ini adalah pemberian khas susulan pencapaian pendapatan kerajaan negeri.

"Malah, duit pemberian khas ini juga tiada kaitan dengan peruntukan khas oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM400 juta sebelum ini.

"Ia melibatkan exco dan menteri besar yang menerima pemberian khas ini. Bukannya selalu, cuma tahun ini paling banyak dan tahun depan mungkin tiada," jelasnya.


Tiada ulasan: