Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas penyokong kuat dan “mereka yang dianggap sebagai sekutu” Anwar Ibrahim kerana terus menyerang perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pemimpin kanan Bersatu itu berkata, walaupun didesak dari pelbagai sudut, Mahathir tetap menegaskan komitmen pada muafakat Pakatan Harapan untuk memberi laluan kepada Anwar sebagai pengganti.
“Tidak pernah sekali pun Tun (Mahathir) mengingkari janjinya,” kata Syed Saddiq yang juga menteri belia dan sukan.
Menulis di Facebook petang ini, Syed Saddiq menyenaraikan nama-nama pemimpin kerajaan yang “tidak habis-habis mempersoalkan kedudukan” Mahathir.
Beliau secara khusus menyebut nama pemimpin PKR daripada kem Anwar dan DAP, iaitu Ramkarpal Singh, P Ramasamy, Johari Abdul, Ronnie Liu, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, Syukri Razab dan Syed Husin Syed Ali.
“Tidak sampai dua hingga tiga tahun Tun M memegang jawatan sebagai perdana menteri, mereka sudah mendesak YAB Tun M meletakkan jawatan.
“Bagaimana YAB Tun M ingin mentadbir negara jika setiap hari didesak, ditekan dan diserang oleh mereka yang dianggap sebagai sekutu DS Anwar?” soalnya.
Syed Saddiq justeru mengggesa desakan supaya perdana menteri “yang dipilih secara demokratik” dihentikan.
“Get your house in-order! (Selesaikan hal sendiri dahulu!)” kata ketua Pemuda Bersatu (Armada) dan Pakatan Harapan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan