HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Januari 2020

Muafakat Nasional kurang sesuai di Sabah, kata Zahid

KOW GAH CHIE




PRK KIMANIS | Muafakat Nasional, sebuah kerjasama politik yang diketuai Umno-PAS, kurang sesuai dengan keadaan politik di Sabah, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa mengulas lanjut, beliau membangkitkan "Muafakat Sabah" yang menurutnya bermula dengan PRK Kimanis.

"Muafakat Nasional mungkin kurang sesuai di Sabah kerana latar belakang politik yang berbeza.

"Bagaimanapun inilah 'Muafakat Sabah' yang bermula di Kimanis," katanya dalam ceramah di Kampung Pimping di kawasan parlimen itu, semalam.

Katanya, Muafakat Sabah mampu menyatukan semua kaum dan etnik di negeri itu.

Ucapan Zahid itu menyusuli Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang memperkenalkan Pengerusi Umno Kimanis Mohamad Alamin sebagai "calon Muafakat Nasional yang mewakili Umno" dalam PRK tersebut yang akan diadakan bulan ini.

"Apa yang pentingnya kerjasama Muafakat Nasional ini, Umno, PAS, MIC, MCA, PBS (Parti Bersatu Sabah) dan parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem," kata Hadi.

Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 16 September 2019 dan dijangka diwujudkan secara rasmi pada Mei 2020.

Terdahulu, BN Sabah dilaporkan dalam perbincangan dengan sejumlah parti pembangkang negeri itu untuk bekerjasama dalam PRK ini.

Lima parti pembangkang - Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Usno dan Parti Progesif Sabah (SAPP) - membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Dalam ucapannya, Hadi turut menggesa umat Islam di Kimanias agar memilih calon yang "paling kurang bahaya".

"PRK ini (calon) Islam lawan dengan (calon) Islam yang lain, tetapi kita kena lihat gabungan parti. Kita bukan menentang sesiapa, (tetapi) kita pilih yang paling kurang bahaya kepada orang Islam," katanya.

"Kita tahu Umno ada salah silapnya, tetapi PH lebih (besar) silap," katanya yang membangkitkan dakwaan PH dikawal oleh DAP.

"DAP ini dilahirkan oleh PAP (Parti Tindakan Rakyat) yang memerintah Singapura... Kita tak mau orang Cina yang fanatik, apabila mereka berkuasa, mereka tidak peduli bukan saja orang Islam, tetapi juga orang Kadazan dan Dusun.

"Ini perangai DAP yang menguasai PH hari ini. Kita tidak menyalak bukit, tidak menyalak kepada Warisan atau Bersatu. Kita menyalak (kepada) anjing dan babi yang ada di bukit," katanya.

Parlimen Kimanis merangkumi 63.16 peratus pengundi bumiputera Muslim, bumiputera bukan Muslim (30.67 peratus), Cina (3.59 peratus) dan lain-lain (2.58 peratus).

PRK ini diadakan susulan mahkamah membatalkan keputusan pada PRU ke-14. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 4 Jan, pengundian awal pada 14 Jan, manakala hari mengundi pada 18 Jan.

Tiada ulasan: