HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Januari 2020

PH tunggu masa untuk rebah

siti hafidah

 

Rakyat tak sabar tunggu bubar Parlimen, dedahkan politik songsang PH

BANGI – Kekalahan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, malam tadi memberi signal kerajaan ini hanya menunggu masa untuk rebah dan jatuh ditimpa tangga.

Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kemenangan berturut-turut BN selama beberapa PRK adalah mesej jelas bahawa rakyat sudah mual dengan politik songsang yang dibawa oleh PH.

“Tidak cukup dengan perkelahian dalaman parti, isu penggantian PM (Perdana Menteri) yang tidak berkesudahan, janji pilihan raya yang diingkari, polisi yang menekan kaum peribumi serta keghairahan untuk memenangi hati orang Cina dan India sehingga peribumi digores dan dilupai.

“Bagi saya, ini semua merupakan faktor yang menyumbang kepada kekalahan PH selaku kerajaan. Bahkan ekonomi yang semakin menekan dengan pengangguran yang semakin bertambah, pemberhentian pekerja dan pengangguran semakin ramai, pelabur yang lari, harga minyak semakin menaik dan sebagainya.

“Seolah-olah tidak ada perkara positif yang dapat dirasai dalam negara semenjak PH memerintah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, pada PRK kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi.

Calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48, memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada parti Warisan meraih 10,677 undi.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin yakin bahawa parti komponen PH sedar dan sedia maklum akan hayat mereka semakin hampir tamat.

“Maka sebab itu mereka akan cuba mengubah segala macam undang-undang dan peraturan agar menyebelahi pihak mereka jika mereka kalah nanti.

“Rakyat kini sudah tidak sabar menunggu Parlimen dibubarkan. Apa yang kita mampu serta perlu lakukan ialah memerhati segala tindak tanduk mereka dan mendedahkannya kepada umum supaya rakyat nampak akan kerosakan yang mereka sedang lakukan kepada negara,” katanya.


Tiada ulasan: