ULASAN l Tular bahawa esok, 7 Februari ( Hari Jumaat ), Umno akan buat keputusan pada mesyuarat majlis tertingginya sama ada akan bersama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi 'membentuk kerajaan baru'.
Katanya PAS sudah membuat keputusan atas nama Muafakat Nasional dan kini hanya menunggu Umno sahaja. Semua yang ditularkan ini membentuk beberapa persepsi untuk menggambarkan beberapa mesej iaitu:
- Dr Mahathir ada rundingan di balik tabir dengan PAS dan Umno lantas menggambarkan beliau sebagai seorang yang 'khianat' perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH).
- Semuanya kerana DAP dan survival Melayu- seolah PH gagal tangani isu Melayu dan Islam sebab itulah satu pakatan alternatif diperlukan.
- DAP, Amanah dan PKR adalah rakan yang tidak layak dan menteri-menterinya gagal mentadbir negara. Maka pakatan baru akan selesaikan masalah tidak kompeten ini.
- Menerima Umno dalam pakatan baru bukan menerima Najib sebab Umno rosak kerana Najib. Tanpa Najib, Umno dah ok.
- PAS boleh terima pimpinan Dr Mahathir tetapi tak boleh terima DAP, Amanah dan PKR. Sebab itu pakatan baru ini akan menyisihkan parti-parti tersebut.
'Take home message' ialah meremehkan PH dengan menjadikan perdana menteri sebagai 'bahan' utama ramuan mereka.
'Pintu belakang'
Semasa itu PAS dan beberapa tokoh dijadikan 'bahan' untuk 'melemahkan' Pakatan Rakyat dengan menggunakan isu yang sama iaitu isu 'Melayu', 'Islam' dan sentimen anti DAP dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Namun taktik Umno/BN gagal kecuali PAS sahaja yang telah kecundang dan terbuai dengan sentimen yang dimainkan Umno malah 'mempercayai' bahawa ini adalah sebenarnya.
Sehingga kini PAS masih belum sedar mereka hanyalah umpan untuk mengekalkan hegemoni Umno dan kebobrokannya.
Pembangkang terlalu 'penting diri'
Dr Mahathir muncul dengan Gerakan Selamatkan Malaysia sebagai gerakan madani dan kemudian muncul membentuk parti baru Bersatu yang berjaya memecahkan kubu Umno. Pakatan Harapan menerima anggota baru dan berjaya menerima mandat rakyat pada PRU ke-14.
Tularan tentang rundingan pintu belakang bukan baru bagi kami. Bezanya kali ini mereka melakukannya dalam skala besar melibatkan kerajaan persekutuan.
Bezanya juga ialah bahannya kali ini ialah individu yang memimpin PH dan Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir dan tidak Abdul Hadi Awang dan PAS-nya.
Sebagai negarawan Dr Mahathir bertemu dengan sesiapa sahaja untuk mendapatkan sokongan kepada ide besar negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).
Pembangkang terlalu 'penting diri' dan hanya berfikir tentang survival partinya maka sebab itu lontaran Dr Mahathir terhadap isu Melayu, Islam dan lain-lain ditanggap dalam dimensi Umno dan PAS yang sangat sempit dan terus dikaitkan dengan pakatan baru.
Syok sendiri
Mereka syok sendiri dalam alam masing-masing. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi and the gang lebih penting selamatkan diri mereka dari melihat politik berwawasan.
Hadi and the gang masih dalam alam utopia mereka menyangka mereka diperlukan. Maka dicanang seluruh kampung pakatan baru!
Mandat rakyat, walau apapun persepsi mereka terhadap kerajaan PH rakyat Malaysia semuanya bersepakat mereka mahukan Malaysia tanpa korupsi, tanpa perkauman sempit dan tanpa kelompok yang tunggang agama untuk kepentingan kepartian.
Tularan pakatan baru seolah memusing jarum jam ke belakang untuk rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
Tidak terbayang Dr Mahathir 'tunduk' kepada kelompok ini setelah berganding tenaga membanting urat membawa Malaysia Baru dalam kempen PRU lalu.
Saya harus akui Dr Mahathir adalah seorang yang unpredictable tetapi saya percaya Dr Mahathir adalah seorang yang berperinsip kerana PH terbentuk atas prinsip-prinsip menentang kleptokrasi dan pemikiran yang progresif serta nilai-nilai reformis dalam pemerintahan.
Sebagai kritikan untuk bersikap introspektif, PH patut berhenti daripada menimbulkan polemik Perdana Menteri ke-8.
Rakyat mahu merasai dasar yang dapat meringankan kos sara hidup. Sebenarnya kita telah berjaya melakukannya dengan penurunan 18 peratus bayaran tol, polisi menentang rasuah yang berjaya dan kawalan harga barang lebih berkesan.
Malangnya isu pelan penggantian kepimpinan menggangu fokus utama PH termasuklah diheret dengan tularan pakatan baru.
*DR MUJAHID YUSOF adalah naib presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar. Beliau juga adalah anggota jemaah menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan