Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berharap
keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan semula atau sebaliknya dapat
diputuskan pada tahun hadapan.
Katanya, kabinet seterusnya akan menentukan sama ada PPSMI dilaksanakan semula atau membuat keputusan mengekalkan kaedah pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan.
“Isu PPSMI akan diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. Saya tidak boleh buat keputusan...ia mesti dibuat oleh Kabinet,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di Langkawi, hari ini.
"(Sebelum ini) saya beritahu kepada pegawai, bukan buat pengumuman (kepada umum mengenai memperkenalkan semula PPSMI), tetapi entah macam mana ia tiris dan orang ramai diberitahu bahawa saya telah buat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkata sebuah jawatankuasa Kabinet telah dibentuk untuk mengkaji perkara itu memandangkan terdapat tentangan daripada orang ramai terhadap cadangan berkenaan.
Program Medical Outreach anjuran Langkawi Youth Power Club, Institut Jantung Negara (IJN) dan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP itu bertujuan menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk setempat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan