HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Februari 2020

Harap air telaga, tadahan hujan

Hazira Ahmad Zaidi
 
 

DUA beranak di Pondok Hidayah, Kampung Cawas, Tanah Merah, terpaksa bergantung kepada air telaga dan tadahan air hujan selepas bekalan air di rumah mereka dipotong sejak lebih 10 tahun lalu.

Noor Aini Hussin, 37, berkata, keadaan itu terjadi disebabkan dia tidak mampu melunaskan tunggakan bil air mencecah ribuan ringgit berikutan kekangan kewangan dihadapi.

Ibu tunggal itu berkata, dia dan anak bongsunya, Mohd Daniel Asyraf Roslan, 9, terpaksa menggunakan sumber air telaga yang diambil di rumah jiran selain air tadahan hujan bagi kegunaan harian mereka untuk mandi, membasuh, memasak dan minum kerana tidak ada bekalan air bersih lain.

“Pada setiap hari saya terpaksa memunggah air telaga dari rumah jiran terletak 200 meter dari rumah kami.

“Mujurlah jiran memahami kesukaran hidup kami dan mengizinkan untuk menggunakan air telaga ini dan ada ketikanya menadah air jika hujan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society diwakili Che Norhayati Mohamed yang datang menjenguk keadaan mereka.

Katanya, dia tidak mampu menjelaskan tunggakan bil air berkenaan kerana upah diperoleh hasil daripada menoreh getah tidak menentu dan ada kalanya sekitar RM100 seminggu.

“Saya kini tinggal bersama anak bongsu selepas anak perempuan sulung berusia 20 tahun berpindah setelah berkahwin manakala anak kedua berumur 18 tahun tinggal bersama bekas suami.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, wang upah menoreh getah digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak bongsu selain makan dan minum kami dua beranak,” katanya.

Katanya, dia amat berharap ada pihak tampil membantu menyediakan bekalan air bersih untuk keperluan mereka dua beranak.

Sementara itu, Che Norhayati berkata, dia akan memanjangkan kepada pihak berwajib supaya membantu keluarga berkenaan.

Tiada ulasan: