HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Februari 2020

mySalam : ‘talian hayat’ kesihatan rakyat

THE MALAYSIAN TIMES



KLANG: Kelayakan untuk menuntut bayaran RM8,000 menerusi skim perlindungan masyarakat, mySalam bagi penyakit kritikal ibarat ‘talian hayat’ buat Rosshiella Roslan yang suaminya menghidap strok.

Rosshiella, 35, yang merupakan seorang pekerja swasta di sekitar daerah ini berkata suaminya Mohamad Firdaus Mohd Noor, 35 menghidap  strok sejak 2018 dan semenjak itu mereka sering berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini bagi mendapatkan rawatan.

“Untuk skim ini, saya sudah buat tuntutan sejak tahun lepas lagi dan wang berkenaan sedikit sebanyak boleh kami guna untuk perbelanjaan perjalanan ke hospital.

Tapi hari ini, apabila saya dapat tahu bahawa penyakit strok boleh tuntut pembayaran RM8,000, saya sangat bersyukur kerana wang itu boleh menampung kos merawat suami saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di HTAR di sini.

Katanya, inisiatif kerajaan mewujudkan skim bantuan seumpama itu amat meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) yang bukan sahaja menanggung kos sara hidup yang tinggi namun terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kos rawatan perubatan.

Senada dengan Rosshiella adalah seorang penjawat awam, Zulradi Abdul Rahim, 34, yang menyifatkan skim diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lepas itu menunjukkan keprihatinan pentadbiran negara dalam isu berkaitan kesihatan rakyat.

“Saya lihat skim ini merupakan niat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan sebaiknya,” katanya yang ditemui di kios mySalam di HTAR di sini.

Ditanya mengenai tujuannya ke kios berkenaan, Zulradi berkata beliau mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses tuntutan manfaat sebanyak RM8,000 yang layak diperolehnya susulan pernah menjalani pembedahan otak akibat kemalangan baru-baru ini.

Sementara itu, seorang petugas di kios berkenaan memberitahu, beliau menerima permohonan dan pertanyaan mengenai skim itu daripada hampir 100 pengunjung hospital berkenaan dalam sehari.

“Untuk beberapa hari kebelakangan ini, kita menerima banyak pertanyaan mengenai skim mySalam yang dibuka bagi golongan berpendapatan pertengahan (M40) pula. Kami di kiosk ini sedia membantu sepanjang waktu operasi bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

Selain menguruskan pertanyaan dan pendaftaran, kami juga membantu para pesakit untuk menguruskan proses tuntutan mereka,” katanya yang enggan dikenali.

Skim mySalam yang dilancarkan pada 24 Januari tahun lepas merupakan perlindungan takaful kepada golongan B40 dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.

Pada 11 Feb lepas pula, kerajaan menambah baik skim berkenaan apabila menambah perlindungan kepada 45 jenis penyakit kritikal termasuk polio bermula 1 Jan tahun ini selain memperluaskan manfaatnya kepada golongan M40 dengan pendapatan kasar tahunan tidak melebihi RM100,000.—Bernama 

Tiada ulasan: