Jabatan Imigresen akan membuat laporan polis berhubung anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dipercayai dihalau daripada melakukan tugas operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, di sini, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya memandang serius tindakan provokasi itu dan menganggap ia sebagai perbuatan menghalang tugas penjawat awam.
“Tindakan berundur yang diambil adalah bertujuan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Sementara itu dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe memaklumkan pihaknya telah menerima dua laporan daripada pihak Imigresen serta satu laporan daripada individu dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan petang Sabtu.
Keterangan kesemua pihak yang membuat laporan itu telah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186/506 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta melakukan ugutan jenayah.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menular atau menyebarkan berita yang tidak benar demi keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat sentiasa terjamin.
Pada Jumaat, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.
Selain itu, mereka juga dicemuh dengan bahasa kesat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan